rap

Konsert Sheila Majid satu malam saja, tak ada malam kedua atau ketiga

Oleh Norhayati Nordin

 

Petaling Jaya: Datuk Sheila Majid, 57, lebih suka penganjuran konsertnya berlangsung satu malam saja berbanding dibuat secara lanjutan untuk malam kedua atau ketiga.

Sheila berkata, konsert satu malam lebih istimewa kerana hanya boleh dirasai penonton pada malam itu saja dan tiada lagi selepas itu.

"Selalunya untuk konsert besar seperti penganjuran Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 sebegini, saya lebih suka tiada malam kedua dibuat, kerana itu lebih istimewa.

"Kalau untuk konsert amal lainlah, saya mungkin boleh lakukannya untuk malam kedua atau seterusnya. Tapi, tidak bagi konsert solo saya yang dibuat atas permintaan peminat juga.

"Sebabnya, kadang-kadang kita tak boleh terlalu bercita-cita tinggi. Kalau peminat nak lagi, mereka boleh datang pada konsert seterusnya. Buat apa anjurkan dua atau tiga malam, tapi tak laku. 

"Jadi siapa yang nak tengok konsert saya ini kena beli tiket cepat. Saya tahu ada yang ingat bila penganjur umumkan tiket habis, mereka tak percaya dan ingat bila pergi ke lokasi, tiket masih ada dijual lagi," katanya ingin mengubah persepsi sebegitu.

Sheila ditemui pada  sidang media Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 , di sini. 

Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 18 Mac tahun depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sheila menjanjikan persembahan yang berbeza dari konsertnya sebelum ini apabila Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 akan membabitkan 23 orang pemuzik dengan penyusunan lagu-lagunya yang lebih segar.

"Ini kali pertama saya akan menampilkan Big Band, yang mana ia (Big Band) adalah satu konsep muzik berbeza daripada apa yang pernah saya persembahkan sebelum ini. 

"Saya sendiri tak sabar dan teruja nak tengok penyusunan muziknya oleh pengarah muzik, Mac Chew. Kami pastinya akan memberikan sebuah persembahan yang menarik buat penonton," katanya yang akan membuat persembahan selama dua jam setengah. 

Melihat tiket konsert terdahulunya, Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 yang habis dijual, Sheila mengakui mempunyai harapan yang sama buat konsert kali ini.

Maklumat mengenai tiket boleh diperoleh di www.Jiobuddy.asia

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 9:49pm
d