rap

Mechamato Movie kutip RM1.1 juta sehari

Kuala Lumpur: Filem animasi Mechamato Movie terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd atau Monsta berjaya meraih kutipan RM1.1 juta dalam tempoh sehari selepas mula ditayangkan semalam.

Animonsta Studios dalam satu kenyataan berkata, mereka sangat terharu dan berharap akan ramai lagi menyokong filem animasi tempatan yang turut mendapat perhatian peminat seluruh dunia itu.

"Alhamdulillah dan terima kasih untuk kutipan hari pertama. Terima kasih juga kerana memberi kepercayaan kepada #MechamatoMovie dan meletakkan kami sebagai filem tempatan terbaik tahun ini.

"Yang sudah tonton sekali, dua, tiga, bakal tonton, dah beli tiket dan tunggu tarikh tayangan, kami berharap anda akan berpuas hati dengan adegan aksi, komedi, persahabatan dan budaya Malaysia yang dipaparkan.

"Jom, tonton #Mechamato Movie di pawagam sekarang," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Terbaru, Monsta juga berkongsi tiket untuk beberapa pawagam terjual habis pada hari ini bagi tayangan pagi hingga tengah hari.

Pada tayangan perdana Mechamato Movie, baru-baru ini, kehadiran penonton sangat luar biasa yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios yang juga pengarah dan penulis filem animasi terbabit, Nizam Abdul Razak berkata, dia sangat bersyukur penonton yang hadir memberikan reaksi positif terhadap keseluruhan filem terbabit dan berharap sambutannya di pawagam lebih luar biasa.

Disiarkan pada: December 10, 2022 @ 1:00pm
d