rap

'Dah sampai jodoh, kenapa nak lambat-lambatkan' - Anita Baharom

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Pelakon Anita Baharom, 39, menyifatkan jodohnya dengan bakal suami, Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, sudah ditetapkan Allah SWT dan menerimanya dengan rasa syukur serta seikhlas hati.

Anita ketika dihubungi berkata, yang pergi tetap sudah pergi, namun dia perlu meneruskan kehidupan dan bertemu jodoh untuk berkahwin ini perkara yang baik serta kenapa pula hendak dilambat-lambatkan.

"Saya pun sebelum membuat keputusan nak berumah tangga semula, ada buat solat istikarah juga dan minta pandangan kenalan yang arif dalam agama. Kata mereka, jodoh dah sampai itu perkara yang baik dan calon suami pun berstatus duda.

"Alhamdulillah, saya tak berkahwin dengan suami orang. Malah, anak-anak saya juga menerima baik dan sayang dengan Engku Isyamuddin yang saya lihat amat penyayang. Apabila anak-anak selesa dengan bakal suami, saya jadi tambah yakin," katanya yang akan melangsungkan pernikahan dengan Engku Isyamuddin pada 22 Disember ini di Subang Jaya, Selangor.

Anita yang dikenali menerusi drama Dunia Baru dan Keluarga Iskandar berkata, dia juga berbincang dengan anak-anaknya lebih dulu dan penerimaan mereka masing-masing terhadap calon suami sangat baik dan positif.

"Kalau 'mommy' dah okay, mereka pun okay terutama anak kedua, Iskandar sayang sangat dengan

Engku Isyamuddin kerana minat mereka sama terhadap bola sepak. Anak sulung, Syifa dan bongsu, Mikail juga menyayangi bakal suami.

"Apa yang saya harapkan agar jodoh kami kekal hingga akhir hayat dan sampai syurga. Saya juga bersyukur hingga kini segala persiapan dan urusan perkahwinan berjalan lancar serta dipermudahkan Allah," katanya.

Bercerita mengenai perkenalan dengan bakal suami, Anita berkata, mereka sudah mengenali sejak 2017 ketika acara Sukan Sea di sini.

Mereka mula rapat sejak Anita habis edah selepas suaminya, bekas penerbit program di TV3, Allahyarham Mohd Ismadi Ismail meninggal dunia pada 1 Januari lalu.

Engku Isyamuddin yang bekerja sendiri, sebelum ini adalah Pengurus Penajaan dan Pengaktifan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd.

Anita berkata, dia dan bakal suami membuat keputusan untuk membawa hubungan mereka ke fasa perkahwinan kali kedua masing-masing pada November lalu.

Katanya, semua berlaku sangat pantas, tanpa dirancang dan inilah jodoh kami.

Hasil perkongsian hidup Anita dengan Mohd Ismadi, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Syifa Dhia Nurina, 15; Mohamad Dhia Iskandar, 11; dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Disiarkan pada: December 15, 2022 @ 1:58pm
d