rap

'Saya bukan sombong, cuma hati-hati' - Ryan Bakery

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : Pempengaruh popular, Ryan Fahmi Bakery mengakui dia kurang mesra dengan banyak pihak termasuk media kerana mengambil pendekatan berhati-hati selepas beberapa kali ditipu hingga kerugian ratusan ribu Ringgit.

Ryan yang terkenal dengan video-video komedi pendek di TikTok menceritakan kenangan masa lampau seperti tingkah laku pelajar sekolah berkata, dia mengambil pendekatan itu kerana enggan menjadi mangsa tipu lagi.

"Saya minta maaf kepada pihak media atau mana-mana pihak yang terasa dengan saya. Malah, ada yang menyifatkan saya sebagai sombong kerana sikap yang terlalu berhati-hati ini.

"Berasal dari kampung dan secara tiba-tiba menjadi orang yang dikenali, saya memang terkejut sangat. Malah, saya cuba sebaik mungkin untuk membiasakan diri dengan keadaan dan situasi ini.

"Apatah lagi, saya pernah ditipu beberapa kali sehingga hampir mencecah ratusan ringgit. Ia masih baru berlaku dan menjadikan saya takut dan terlalu berhati-hati," katanya.

Menurut Ryan, antara penipuannya ialah pembikinan video yang tidak dibayar dan beberapa lagi.

"Sebenarnya saya tidak mahu peristiwa yang sama berulang lagi. Namun, tak sangka pula tindakan saya itu membuatkan ada yang kurang senang pula. Apa yang berlaku saya jadikan sebagai pengajaran," katanya ketika ditemui di majlis sidang media pengumuman Top 5 acara Gempak Most Wanted Awards 2022 (GMWA 2022), di sini.

Ryan dicalonkan dalam kategori Digital Content Creator Tergempak yang turut membariskan Khairul Aming, Mek Yun, Syahmi Sazli dan Namie Smy.

Malam anugerah GMWA 2022 akan berlangsung pada 26 Februari tahun depan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Disiarkan pada: December 16, 2022 @ 3:35pm
d