rap

Hubungan adik-beradik renggang, Zaki kekok jumpa Osama

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Dua anak lelaki Datuk Jamal Abdillah iaitu Osama Yamani, 21, dan Zaki Yamani, 16, percaya pembabitan mereka dalam program realiti Famili Duo terbitan TV3 bakal merapatkan semula hubungan adik-beradik yang renggang.

Zaki berkata, sejak abang sulungnya itu berpindah ke Sekolah Seni Johor pada usia 14 tahun, dia sudah jarang berjumpa dan hubungan mereka sudah tidak seperti dahulu. 

"Kami jadi kekok setiap kali bertemu di acara hiburan dan tak tahu apa nak dibualkan.

"Saya harap pembabitan dalam program Famili Duo akan membuka satu peluang untuk kami kembali rapat sebagaimana ketika waktu kecil dulu," katanya.

Sementara itu, Osama turut berharap gandingan mereka dalam program itu dapat membuatkan bapanya bangga sekali gus mendekatkan hubungan mereka sekeluarga.

"Saya nak babah bangga apabila industri hiburan mempertemukan kami adik-beradik.

"Selain program Famili Duo, kami merancang menghasilkan single duet bersama. InsyaAllah, kami akan fokus mencari karya yang bersesuaian selepas program realiti ini," katanya.

Program Famili Duo musim kedua akan bersiaran mulai esok, jam 9 malam di TV3.

 

Disiarkan pada: December 17, 2022 @ 12:56pm
d