rap

Sherry Alhadad mohon maaf, video tuju diri sendiri

Oleh Wartawan Harian Metro

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Sherry Alhadad, 38, memohon maaf terhadap mana-mana pihak yang terguris hati dengan kenyataannya menolak pembedahan bariatik yang dikatakan 'jalan pintas' untuk kurus sekali gus tular di media sosial, baru-baru ini.

Sherry berkata, dia tidak berniat menyakiti hati sesiapa pun dan tujuan merakamkan video berkenaan sekadar untuk menjawab soalan-soalan yang diterima di TikTok, Instagram dan individu yang ditemuinya sebelum ini.

"Ramai yang tahu saya adalah duta produk untuk mengurangkan berat badan. Effort (usaha) saya ialah dengan ambil produk itu dan dalam masa sama pergi ke gimnasium atau buat senaman ringan," katanya.

Menurut Sherry, bagaimapun masih ada yang mengatakan berat badannya turun kerana membuat pembedahan bariatik.

"Jadi, video itu dirakamkan untuk beri penjelasan yang saya berjaya turunkan berat sebab kombinasi mengambil produk dan juga senaman.

"Apapun, saya ingin memohon maaf atas kenyataan saya jika ada mana-mana pihak yang terasa," katanya menerusi sebuah portal hiburan.

Sherry turut mengakui penggunaan ayatnya dalam video terbabit dirasakan tidak sesuai sehingga ada pihak yang berkecil hati.

"Kekhilafan saya sendiri yang tidak melihat dan menggunakan perkataan yang betul ketika buat kenyataan di dalam video itu. Namun, saya tak pernah naik status atau beri pandangan terhadap sesiapa yang buat pembedahan bariatik.

"Kalau ada orang tanya, sebenarnya saya akan jawab terpulang kepada individu. Setiap orang ada pendapat dan cara masing-masing. Saya juga akan jawab tak buat pembedahan itu (bariatrik), tapi terpulanglah kepada mereka untuk pilih kaedah atau cara sendiri bagi menurunkan berat badan," katanya.

Bagaimanapun, dia meminta maaf kepada mereka yang terasa dan memaklumkan ia sama sekali tidak ditujukan kepada sesiapa.

"Saya tujukan video itu pada diri sendiri bagi menjawab persoalan yang orang lain tanya. Itu saja. Tidaklah saya nak cuba kritik orang yang buat pembedahan itu. Tiada langsung niat saya nak buat begitu," katanya.

Baru-baru ini, penyanyi Datuk Aishah tampil menegur Sherry kerana kenyataannya itu dan mengaku terasa hati dengan apa yang dikongsikan selebriti berkenaan mengenai pembedahan bariatik.

Disiarkan pada: December 18, 2022 @ 7:51pm
d