rap

Zulkifli Ismail setia menyewa rumah selama 32 tahun

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Selama 32 tahun saya menyewa rumah ini. Sejak berusia 27 tahun hingga menghampiri usia emas. Dari bujang hingga dah bermenantu. Terlalu banyak kenangan di sini."

Itu hantaran dimuat naik di Facebook pelakon Zulkifli Ismail, 59, di mana akhirnya dia perlu mengucapkan selamat tinggal kepada rumah sewa di Cheras, di sini, dan berpindah di rumah sendiri di Kajang, Selangor.

Perkongsian pelakon yang popular menerusi watak polis dalam siri Gerak Khas itu tular dan menjadi perhatian warganet.

Dalam masa sama, timbul pula cakap-cakap yang mempersoalkan kenapa dia tidak membeli rumah sendiri sedangkan sudah berlakon lama.

Zulkifli berkata, itu adalah dilema dan masalah yang dilalui penggiat seni tempatan dan mereka yang bekerja secara bebas kerana tidak dapat membuat pinjaman bank.

"Kenapa menyewa saja? Saya rasa, pelakon duduk rumah sewa adalah biasa. Malah, ramai artis masih menyewa. Sampai akhir umur pun sama. Kami tidak dapat membuat pinjaman dan susah bank nak luluskan. Kami tidak dapat nak buktikan ada pendapatan selama 20 tahun akan datang, berbanding mereka yang mempunyai pendapatan tetap.

"Sesiapa saja yang kerja secara bebas atau 'freelance' akan melalui perkara ini. Kami anak seni memang tidak ada pendapatan tetap. Kadang-kadang ada 'job' (tawaran kerja), kadang-kadang tak ada. Isteri saya bekerja sebagai guru sekolah. Tapi, selepas kahwin dia sambung belajar selama enam tahun, jadi kemudahan pinjaman susah. Selepas dia tamat pada 2002 baru kembali mengajar.

"Dengan pendapatan yang tidak menentu, menyukarkan proses nak buat pinjaman. Kalau pasangan suami isteri itu pekerja bebas, lagi susah. Saya tak merendahkan artis lain, tapi ini adalah situasinya. Jika ada yang cakap artis ketika muda hanya 'enjoy' dan tak menyimpan, itu tak betul. Tapi, pendapatan tak menentu dan tidak dapat kemudahan pinjaman," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia sekeluarga setia menyewa di situ kerana sudah selesa dengan kejiranan selain jarak ke tempat kerja isteri dekat.

"Saya mula datang Kuala Lumpur pada 1 April 1984. Ketika itu saya berusia 21 tahun dan bekerja sebagai wartawan kadet di Utusan Melayu. Sejak itu saya menyewa di beberapa tempat. Pada 1986 baru saya menjadi pelakon. Menyewa di rumah Cheras pula sejak 1990 dan pada 1991 saya berkahwin. Beberapa kali nak beli rumah itu, tapi tuan rumah tak nak jual.

"Kami ada rumah sendiri yang dibeli sejak 13 tahun lalu di Kajang, tapi masing-masing buat keputusan tak nak pindah sebab dah selesa. Dekat dengan Kuala Lumpur dan sekolah tempat isteri mengajar pun dekat. Dua anak pun dah selesa duduk situ.

"Tahun lalu isteri ditukarkan ke Kajang. Itu yang kami ambil keputusan untuk pindah ke rumah sendiri yang disewakan kepada orang lain sebelum ini. Kalau sebab isteri tak bertukar, memang duduk di Cheras saja. Alhamdulillah, rumah sendiri ini dua tingkat dan lot hujung," katanya.

Menurutnya, sepanjang 32 tahun menyewa di rumah itu dia mendapat layanan baik daripada tuan rumah.

"Saya jaga rumah sewa macam rumah sendiri. Buat apa-apa saya akan maklumkan tuan rumah dan tak pernah 'claim' pun kalau ada ganti barang yang rosak. Melainkan kalau menggunakan kos yang besar. Masa mula masuk, sewa rumah RM300, naik sedikit hingga beberapa tahun kebelakangan ini menjadi RM1,000. Itu pun masih rendah jika dibandingkan dengan harga pasaran.

"Tuan rumah juga baik, dia boleh bertolak ansur. Kalau 'job' saya kurang dan bayaran sewa lambat sikit, dia okay. Apatah lagi sewaktu pandemik Covid-19. Jadi, apabila nak pindah, tuan rumah pun sedih. Apa pun, saya tinggalkan rumah dalam keadaan baik," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2022 @ 2:38pm
d