rap

Awesome TV terima anugerah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Walaupun baru dua tahun beroperasi, Awesome TV berjaya melakar sejarah apabila merangkul anugerah 'Best In Consumer Satisfaction' bagi kategori televisyen percuma di MCMC Star Rating Awards 2021 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 21 Disember lalu.

Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, sebagai pembekal kandungan hiburan tanah air, pihaknya amat gembira dengan pengiktirafan cemerlang yang diberikan SKMM dan menyifatkan ia sebagai satu penghormatan yang cukup membanggakan.

"Dinobatkan sebagai penerima anugerah 'Best In Consumer Satisfaction' bagi kategori televisyen percuma membuktikan segala usaha keras dan komitmen berterusan Awesome TV selama ini berjaya memberi kepuasan kepada segenap lapisan masyarakat.

"Pengiktirafan yang diberikan pastinya berfungsi sebagai faktor pendorong yang dapat menyuntik semangat kepada stesen televisyen seperti Awesome TV untuk terus memberikan perkhidmatan yang produktif dan inovatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.

"Kami juga mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka yang tidak pernah berbelah bahagi kepada Awesome TV selama ini kerana tanpa sokongan mereka, kejayaan ini pastinya tidak tercapai," katanya.

Majlis penganugerahan MCMC Star Rating Awards mula dianjurkan pada 2016 untuk mengiktiraf perkhidmatan cemerlang industri.

Pemilihan pemenang adalah berdasarkan peranan penting yang diketengahkan oleh pemain-pemain industri dalam menyediakan perkhidmatan cemerlang menerusi tiga sektor utama iaitu industri telekomunikasi, penyiaran dan industri kurier.

Dalam pada itu, Awesome TV turut berjaya mencatatkan jumlah tontonan terkumpul yang melonjak sehingga 2.6 bilion sejak mula beroperasi dua tahun lalu sehingga kini.

Ini berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh firma penyelidikan, pengguna dan media, Nielsen Malaysia.

Statistik itu membuktikan program-program terbitan Awesome TV berjaya memberikan impak di hati rakyat Malaysia sekali gus menjadikan stesen ini sebagai destinasi utama untuk menikmati program-program hiburan berkualiti di Malaysia.

Disiarkan pada: December 24, 2022 @ 12:17pm
d