rap

Sazali P Ramlee makin buntu

Oleh WNajiy Jefri

Kuala Lumpur : "Saya sudah tiada duit. Tolonglah!," kata anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 63 yang merayu kepada kerajaan untuk membantu memanjangkan tempoh wang royalti karya bapanya daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) yang diterima selama ini.

Sazali berkata, sebelum ini dia ada menghubungi MACP bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai permintaannya supaya kerajaan dan pihak bertanggungjawab menambah tempoh perlindungan hak cipta.

"Bagaimanapun, MACP memaklumkan mereka belum terima sebarang jawapan daripada kerajaan ( terdahulu) berhubung permintaan untuk memanjangkan tempoh wang royalti karya bapa saya.

"Justeru saya berharap kerajaan sekarang iaitu Kerajaan Perpaduan ini dapat melihat semula dan mempertimbangkan permintaan saya ini. Saya dan isteri bukannya hidup senang, kami bergantung dengan wang royalti untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana kesihatan saya dan isteri tidak berada dalam keadaan baik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sazali, di usia 63 tahun dia juga tidak dapat bekerja untuk menampung perbelanjaan dia dan isteri memandangkan mereka berdua berdepan masalah kesihatan.

"Kudrat saya tidak sekuat zaman muda. Saya nak keluar bekerja pun sangat susah. Sebagai waris tunggal saya harap kerajaan dapat melihat semula dan membantu saya.

"Kalau boleh wang royalti bapa saya diteruskan untuk tempoh tiga tahun lagi. Ia sudah cukup memadai. Sekurang-kurangnya dapatlah saya menampung perbelanjaan tahunan saya dan isteri.

"Lagipun jumlah wang royalti yang diterima sekarang ini tidak sebanyak dulu. Saya tak boleh jadi kaya pun dengan wang itu, sebaliknya dapat digunakan untuk perbelanjaan harian saya" katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan luahan hati Sazali yang buntu apabila kontrak royalti karya bapanya yang diperoleh daripada MACP selama ini bakal tamat tahun depan.

Dalam pada itu, beberapa pihak termasuk persatuan hiburan dan artis memohon kerajaan mempertimbangkan supaya tempoh perlindungan hak cipta dinaikkan kepada 70 tahun berbanding 50 tahun ketika ini atau waris boleh menerima royalti selama-lamanya.

MACP pula bersedia untuk membincangkan dan memperhalusi isu berkenaan bersama kerajaan.

Disiarkan pada: December 24, 2022 @ 4:03pm
d