rap

Sikap 'gila-gila','over' hanya di media sosial - Lando

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Lando Zawawi yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), menjelaskan sikap 'gila-gila' dan 'overnya' hanya dipamerkan di media sosial dan bukan di dunia realiti.

Menurutnya, dia adalah seorang pengkarya dan untuk itu media sosial menjadi layar untuknya berkarya kepada pengikut.

"Mungkin bahasa yang saya gunakan, mimik wajah saya, dengan karakter sebagai YB hamlau serta watak Kapten Jack Sparrow pun saya ada bawakan.

"Itu semua adalah cara saya berkarya di media sosial untuk tarik perhatian terutama belia-belia kita untuk sertai Brotherhood yang semakin hari semakin mendapat tempat di hati mereka.

"Pasukan kami nampak relaks tapi kita berhasil apabila banyak kerja dilakukan membabitkan penyelenggaraan jalan raya," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas berkenaan karier lakonan, Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi berkata, ramai yang tidak maklum bahawa dia sebenarnya bukan pelakon.

"Dari dulu lagi saya bekerja dengan Datuk Yusof Haslam sebagai tenaga belakang tabir menjadi penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelbagai lagi.

"Apabila dah habis kontrak dengan beliau, saya fokus terhadap syarikat dengan rakan kongsi di Australia, di mana kami buat iklan pengurusan harta tanah di sana. Tapi kami banyak editing di Malaysia.

"Memang saya masih ada tawaran berlakon tapi saya ambil yang betul-betul sesuai dengan watak yang saya kehendaki," katanya.

Lando tidak menerima apa sahaja watak yang ditawarkan kerana lakonan bukan menjadi mata pencariannya. "Saya sekarang lebih kepada buat iklan di Australia dan buat kajian berkenaan turapan jalan raya terbaru.

"Saya ada makmal dan kilang 'cold mix' dimana saya hasilkan bahan-bahan yang lebih berkualiti untuk penyelenggaraan jalan raya di Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2022 @ 10:40am
d