rap

Semoga Mak Jah cepat sembuh

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon, Maimunah Ahmad, 73, atau lebih dikenali sebagai Mak Jah dimasukkan ke Hospital Ampang Khamis lalu akibat paras diabetes yang tinggi.

Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Tukiman Radion berkata, Mak Jah dibawa oleh anaknya selepas mendapati keadaan ibunya yang kurang bermaya.

"Selepas menerima rawatan keadaannya semakin baik berbanding sebelumnya. Bacaan paras diabetes juga dah turun.

"Bagaimanapun dia masih ditahan di hospital dan belum dibenarkan keluar oleh doktor kerana bacaan paras gula yang turun naik," katanya kepada Harian Metro.

Tukiman bersama Amran Nasarudin (Timbalan Presiden PKAVM), Norlidyawati Shabullah (AJK) dan Chef Yang Jamil (SU) sempat meluangkan masa melawat Mak Jah semalam.

"Alhamdulillah ...dia dalam keadaan sedar dan boleh berbual dengan kami. PKAVM juga bagi sedikit sumbangan berbentuk kewangan dan sokongan moral.

"Ia perlu supaya dia rasa tenang dan tahu ada yang ambil berat terhadapnya. Semoga dia cepat sembuh. Dia ahli yang aktif dan sering terbabit dengan program anjuran kami," katanya.

Tukiman berkata, dia memantau perkembangan Mak Jah dan berkongsi dalam kumpulan WhatsApp ahli PKAVM.

"Saya beritahu ahli agar mohon Allah sembuhkan Mak Jah. Itu adalah semangat sebagai menghormati senior seperti dia.

"Sebagai Presiden, saya memohon jasa baik badan kerajaan dan ahli korporat serta individu yang berkemampuan untuk memberi sumbangan kepada PKAVM.

"Semoga dengan sumbangan terbabit dapatlah kami membantu ahli yang memerlukan bantuan," katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2022 @ 3:39pm
d