rap

Faktor kesihatan paksa Hael Husaini batalkan persembahan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Konsert Hael Husaini Live in KL yang sebelum ini ditunda ke tarikh 19 Februari 2022 di Zepp Kuala Lumpur kini dibatalkan. 

Syarikat hiburan dan pengurusan Rocketfuel Entertainment memaklumkan, pembatalan itu dibuat atas faktor kesihatan penyanyi lagu Jampi itu yang tidak stabil. 

"Terlebih dahulu, kami memohon maaf sekali lagi kepada semua bagi pihak pengurusan di atas pembatalan konsert Hael Husaini Live in KL ini sekali gus.

"Keputusan untuk membatalkan konsert ini terpaksa dilakukan atas beberapa faktor dan yang paling utamanya adalah faktor kesihatan Hael yang tidak dapat dielakkan selepas mendapat nasihat daripada doktor," kata wakil syarikat. 

Wakil Rocketfuel juga memaklumkan bahawa, wang akan dikembalikan kepada peminat yang sudah membeli tiket. 

"Saya faham perasaan gusar yang bakal dirasai pembeli tiket yang sudah pun membeli tiket konsert, saya memberi jaminan bahawa setiap pembeli akan diberikan ganti rugi (refund) yang penuh.

"Sebagai maklumat tambahan, segala pengembalian wang boleh dilakukan pada laman web terbabit," katanya. 

Terdahulu, Rocketfuel memaklumkan bahawa pihak mereka sudah melakukan persiapan sehingga 70 peratus dengan 30 lagu yang akan dipersembahkan oleh Hael. 

 

Disiarkan pada: December 30, 2022 @ 3:14pm
d