rap

Julia Farhana nak anak lagi dua tahun

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur : Pelakon, Julia Farhana Marin tidak merancang untuk memiliki anak dalam tempoh terdekat ini sebaliknya mensasarkan dalam tempoh dua tahun lagi.

Julia berkata, buat masa ini dia mahu fokus terhadap kerjaya lakonannya dulu dan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum turut memberi keizinan.

"Kami sudah berbincang mengenai anak dan dia juga bersetuju untuk saya fokus pada karier seni terlebih dulu. Pada masa sama, suami juga mahu melihat anaknya dari perkahwinan terdahulu, Laana Haura yang kini berusia lima tahun membesar dulu sebelum memiliki adik.

"Insya-Allah, jika ada rezeki kami mahu memiliki dua atau tiga anak untuk melengkapkan lagi rumah tangga yang baru dibina ini," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai rumah tangga pula, kata Julia, mereka masih dalam mood berbulan madu selepas tiga minggu berkahwin.

"Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia walaupun jadual kerja masing-masing padat. Sesibuk manapun, saya pastikan kami tetap mencari waktu untuk meluangkan masa di rumah.

"Malah, saya juga berusaha belajar memasak lauk ayam masak merah kegemaran suami dari resipi istimewa keluarganya," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas majlis pernikahan dan resepsi perkahwinannya yang dibuat secara ringkas dan tertutup baru-baru ini, Julia berkata, dia tidak terkilan tidak dapat meraikannya secara besar-besaran seperti rakan selebriti lain.

"Jika nak diikutkan, saya dan suami memang merancang untuk mengundang ramai rakan dan pihak media pada majlis resepsi tetapi tidak dapat dilakukan atas sebab tidak dapat dielakkan.

"Semuanya kerana keadaan dan situasi tidak mengizinkan ketika itu serta menghormati permintaan keluarga kedua belah pihak.

"Justeru, majlis pernikahan dan resepsi dibuat sekali gus secara ringkas dengan dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga terdekat kedua belah pihak saja," katanya.

Mereka melangsungkan pernikahan di sebuah hotel, di sini, pada 14 Disember lalu.

Sebelum ini, Che Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Lufya pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura.

Bagaimanapun, Lufya dan Dr Hafiz bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020.

Disiarkan pada: January 4, 2023 @ 1:13pm
d