rap

Pentas artis senior

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Walaupun bersaing dengan beberapa persembahan lain anjuran agensi swasta di ibu kota, Konsert Legenda Malam Tahun Baru 2023 anjuran pusat beli-belah Datum Jelatek, Sabtu lalu tetap berlangsung meriah.

Hampir 1,000 pengunjung terhibur dengan persembahan enam artis senior yang ditampilkan iaitu Datuk Hattan, Fredo, Amir UK's, Zamani, Alina Hassan dan Farazila AJ.

Pemilihan barisan artis ini satu langkah tepat memandangkan mereka mempunyai kekuatan vokal tersendiri dan peminat setia yang hadir memberikan sokongan.

Sekitar jam 9 malam, tirai persembahan dibuka Farazila AJ yang pernah menghasilkan album pada 1999.

Dia menyampaikan empat lagu antaranya Tiara dan Aku Yang Berdosa. Farazila juga tidak ketinggalan turun bawah pentas untuk bermesra dengan pengunjung.

Kemudian, suasana menjadi cukup 'havoc' apabila Fredo yang juga penyanyi kumpulan The Flybaits membawakan lagu yang penuh memori seperti Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Kenangan Lalu dan Where Is My Love.

Dia juga hebat apabila membawakan bahagian 'rapping' lagu yang dipopularkan Black Eyes Peas itu.

Alina Hassan pula tampil selepas itu menyampaikan beberapa lagu antaranya Gemilang nyanyian asal Ella dan Buih Jadi Permaidani nyanyian Exists.

Seterusnya Amir U.K's pula muncul membawakan lagu popularnya Rhythm Si Jantung Hati, Kekasih Ku Di Menara, Bila Diri Disayangi dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Kemunculan Zamani buat kali kedua beraksi di pentas Datum Jelatek selepas 10 Disember tahun lalu amat dinanti-nantikan peminat yang disertai sorakan pengunjung.

Dia menyifatkan persembahan itu sebagai istimewa kerana dapat beraksi di kampung halamannya sendiri iaitu di Keramat.

Zamani mengakui sudah lama tidak beraksi dalam persembahan sempena sambutan malam tahun baharu.

Dia membawakan empat lagu iaitu Kembali Merindu, Kembali Terjalin, Gerimis Mengundang dan Nurkasih.

Hattan tampil sebagai artis terakhir membuat persembahan, beraksi hebat dengan gaya penghiburnya menerusi beberapa lagu antaranya Gerhana dan Gadis Jolobu.

Dia turut beraksi bersama anaknya, Adam yang membawakan bahagian 'rapping' lagu Gadis Jolobu.

Tepat jam 12 malam, barisan artis dan Ketua Pegawai Eksekutif Datum Corp International Sdn Bhd, Mohd Azmil Abd Shukor serta pengunjung meraikan kedatangan tahun baharu 2023.

Azmil berkata, program ini dianjurkan untuk memberitahu masyarakat berkenaan kewujudan Datum Jelatek yang dibuka sejak 10 Disember tahun lalu yang dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Apabila jemput artis, orang-orang seronok nak datang. Secara tak langsung mereka akan tahu apa yang ada dalam Datum Jelatek.

"Kami sudi bekerjasama untuk artis mempromosi produk atau buat kerja amal. Kami nak kenalkan tempat ini kepada masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2023 @ 6:30am
d