rap

Wak Doyok, A Aida hanya kawan

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon, ikon media sosial dan usahawan popular Wak Doyok menafikan ada hubungan istimewa dengan Penerbit Datuk A Aida, 52, yang heboh diperkatakan ramai ketika ini.

Menurut Wak Doyok atau nama sebenar, Mohd Azwan Mohd Nor, 43, hubungannya dengan A Aida sekadar kawan baik dan tidak lebih dari itu.

"Kami sudah kenal lama lebih sepuluh tahun iaitu sejak 2012. A Aida adalah mentor saya dalam dunia bisnes dan kami saling membantu antara satu sama lain.

"Saya juga sudah menganggapnya seperti kakak dan hubungan kami sudah seperti adik-beradik," katanya.

Mengenai kriteria pasangan hidup, kata Wak Doyok, dia memilih wanita yang lebih muda dari usianya.

"Sebagai lelaki saya mahukan yang terbaik untuk soal teman hidup.

"Kalau wanita itu lebih berusia dari saya nanti kalau dia jatuh sakit saya pula nak kena dia.

"Saya memilih wanita yang berusia 25 tahun dan ke atas untuk dijadikan pasangan. Kalau muda sangat pun nanti susah juga sebab belum matang," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia sudah memiliki kekasih, Wak Doyok mengakui dia kini sudah memiliki teman wanita.

"Kami baru kenal beberapa bulan dan dalam proses mengenali hati budi lagi.

"Teman wanita saya itu orang biasa saja," katanya.

Bagaimanapun, kata Wak Doyok, dia perlu mendapat restu dari ibunya terlebih dulu mengenai hubungan mereka.

"Sebelum ini, hubungan saya dengan beberapa teman wanita berakhir kerana mereka menolak untuk tinggal bersama ibu bila sudah berkahwin nanti," katanya.

Terdahulu, kemesraan Wak Doyok dan A Aida meraih perhatian netizen susulan video kemesraan mereka tular, baru-baru ini.

Disiarkan pada: January 12, 2023 @ 2:23pm
d