rap

Aidil, Fasha tunaikan umrah

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Aidil Aziz berkongsi keterujaan bakal menunaikan ibadah umrah bersama isterinya, Fasha Sandha buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri.

Aidil berkata, segala urusan dipermudahkan buat mereka yang bakal berangkat ke Tanah Suci esok.

Malah, anak mereka juga bakal diuruskan oleh ahli keluarga terdekat.

"Saya sudah beberapa kali menunaikan umrah, namun kali ini lebih istimewa kerana saya membawa isteri bersama-sama. Apatah lagi, pengalaman ini sesuatu yang baru buatnya.

"Sukar diungkap perasaan bakal menunaikan umrah bersama-sama isteri. Fasha usah disangkal lagi, memang teruja sejak awal lagi dan kami bersyukur semuanya dipermudahkan.

"Orang kata apabila menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadah bersama, ada saja yang menawarkan diri untuk menjaga anak kami. Apatah lagi, ahli keluarga terdekat pula tu," katanya.

Aidil berkongsi perancangannya ke Tanah Suci ketika ditemui di majlis pelancaran Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2023 (ABXGR23) yang bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, baru-baru ini.

Kongsi Aidil lagi, perancangan untuk membawa isteri menunaikan umrah sudah lama namun tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani virus Covid-19.

"Memang niat dah lama namun inilah masa yang terbaik memandangkan Aisya pun sudah besar. Ini semua perancangan Allah SWT.

"Doakan semuanya dipermudahkan dan segala yang dirancang berjalan dengan lancar," kata Aidil lagi.

Aidil dan Fasha mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Aisha Amaira, 2 tahun.

Sebelum itu, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012, namun berpisah pada 20 Januari 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemyma, 8.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 1:40pm
d