rap

Sean Lee sering ditinggalkan wanita

Oleh Ramlah Zainal

Petaling Jaya: Pelakon dan pengacara kacak Sean Lee mensasarkan usia 30 tahun untuknya menamatkan zaman bujang dan membina keluarga.

Namun, kata Sean atau nama sebenar, Sean Lee Jia Ern, 29, sampai hari ini dia masih belum bertemu calon isteri yang sesuai untuk dijadikan pasangan hidupnya.

"Jika nak diikutkan saya mahu berkahwin dan membina keluarga lebih awal pada usia 25 tahun.

"Sayangnya, hubungan percintaan yang terjalin sebelum ini putus dan tidak berakhir dengan perkahwinan seperti diharapkan.

"Terus terang, saya sudah beberapa kali putus cinta dan dilukai bekas kekasih dalam hubungan percintaan sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kriteria gadis idaman pula, Sean juga pengacara program realiti Famili Duo di TV3 berkata, dia tidak kisah wanita itu kalangan artis mahupun orang biasa.

"Saya juga tidak menolak jika ditakdirkan bercinta dengan gadis Melayu.

"Saya pernah beberapa kali putus cinta dan dilukai termasuk dengan gadis Melayu ketika zaman kolej dulu. "Saya sendiri tidak faham alasan mereka untuk memutuskan hubungan kerana mereka mendakwa saya terlalu baik," katanya.

Ditanya jika ada gadis yang menghantar Direct Message (DM) untuk berkenalan dengannya di laman Instagram, Sean mengakui perkara itu.

"Saya ada terima DM dari beberapa gadis yang turut menghantar gambar berpakaian seksi mereka di Instagram tapi saya tidak membalasnya.

"Bukan saja gadis, saya juga terkejut ramai juga lelaki yang berani DM saya untuk berkenalan di Instagram ," katanya.

Terdahulu, Sean mula dikenali menerusi watak Joe dalam drama bersiri Keluarga Pontimau pada 2015.

Karier lakonannya semakin berkembang kerana kerap berlakon dalam drama Melayu popular seperti Sweet Dreams, 7 Hari Mencintaiku 2 dan 7 Hari Mencintaiku 3.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 2:48pm
d