rap

'Sekarang dah peluk Islam, tak boleh buka tudung' - Margaret Gan

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Margaret Gan, 80, meraikan sambutan Tahun Baharu Cina kali pertama sebagai Muslim dengan memperbanyakkan sedekah, selain bersyukur sudah mampu menghafal surah al Fatihah dengan baik.

Margaret berkata, dia memang meraikan Tahun Baharu Cina secara sederhana sejak dulu dengan meluangkan banyak masa bersama keluarga, cuma yang berbeza kini ialah dia sudah memeluk Islam sejak 15 Februari tahun lalu.

"Saya gembira meraikan Tahun Baharu Cina setiap tahun kerana menghabiskan masa bersama keluarga. Cuma, kali ini saya lebih gembira kerana banyak bersedekah. Ia membuatkan saya sangat seronok dan tenang jiwa.

"Alhamdulillah, saya juga masih dianugerahkan Tuhan menjalani kehidupan seperti biasa dengan bahagia bersama anak, menantu dan cucu, selain kesihatan yang baik serta peluang terbabit dengan banyak aktiviti kebajikan dianjurkan persatuan-persatuan yang mengajak saya menyertainya.

"Jadual aktiviti saya boleh dikata tetap sibuk walaupun sekarang jarang berlakon kerana watak tidak sesuai. Sebagai orang Islam dan bertudung, saya memang menolak tawaran berlakon yang memerlukan saya tidak bertudung," katanya kepada Harian Metro.

Margaret berkata, dia sentiasa bersikap positif dan berfikiran terbuka apabila sering diberikan watak sama. Katanya, dia boleh saja melakonkan watak wanita Cina, tapi sekarang kenalah bertudung.

"Tawaran berlakon itu masih lagi diterima, tapi ada juga yang menawarkan saya watak tidak bertudung. Jadi, tak bolehlah saya nak terima sebab saya dah beragama Islam dan bertudung. Saya pun tak akan sesekali membukanya (tudung).

"Lagipun, saya percaya dan yakin rezeki ada di mana-mana kerana Allah yang memberikannya. Macam

saya, pada usia 'emas' begini Allah bukakan hati dengan hidayah hingga rela memeluk Islam dan sekarang saya juga sudah hafal surah al Fatihah dan boleh membaca dengan baik.

"Ia memudahkan saya dalam bersolat, selain anak juga ada menyediakan guru untuk mengajar saya mendalami agama Islam. Jadi, saya amat bersyukur sekarang dan apa lagi yang saya mahu dalam hidup ini. Allah sudah berikan saya segala-galanya," katanya.

Ditanya juga simbolik Tahun Arnab yang diraikan pada Tahun Baharu Cina tahun ini, Margaret berkata, dalam hidup kalau nak berjaya dan mendapat keuntungan, kuncinya adalah rajin bekerja serta berusaha.

Katanya, tak ada apa yang datang bergolek kalau tidak buat apa-apa.

"Prinsip hidup saya mudah, jika kita rajin berusaha pasti hasilnya kejayaan. Tapi, kalau diri sendiri yang malas dan tak buat apa-apa, janganlah merungut, rasa marah atau sedih jika hidup susah. Hidup kita ini ibarat perjuangan," katanya.

Terdahulu, Margaret bersyukur impian anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 38, untuk melihat dia memeluk agama Islam menjadi kenyataan tahun lalu selepas menunggu dengan sabar bertahun-tahun lamanya.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 12:57pm
d