rap

Dua anak Liza Hanim warisi bakat nyanyian

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Liza Hanim gembira apabila dua anak perempuannya, Marsya dan Marissa mewarisi bakat nyanyiannya dan suami yang juga anggota kumpulan Indigo, Shahrin Samsudin.

Liza ketika dihubungi berkata, peluang menyanyi bersama dua anaknya dalam program amal di sekolah Marissa baru-baru ini memberi satu pengalaman istimewa.

"Menyanyi adalah jiwa saya, tapi apabila bakat seni ini turun ke anak-anak sudah tentu saya rasa terharu sebab kami kongsi sesuatu yang sangat dekat di hati.

"Hubungan saya dengan anak-anak memang rapat, namun apabila sama-sama kongsi minat muzik yang sama, hubungan ini jadi makin istimewa.

"Sebenarnya persembahan saya bersama anak-anak berlangsung di sekolah Marissa. Jadi, saya nak beri kelainan dan membuat penampilan istimewa bersama anak-anak.

"Kalau sebelum ini saya selalu buat persembahan dengan Marissa, tapi kali ini saya tampilkan Marsya sekali. Bagi saya, dia sudah cukup matang dan boleh berhadapan dengan khalayak walaupun dia agak gemuruh ketika itu," katanya.

Menurut Liza, sebagai ibu dia sentiasa menyokong minat anak-anaknya dalam apa saja bidang yang ingin diceburi.

"Saya okey saja. Saya sokong apa saja yang mereka ingin lakukan selagi perkara itu tidak memudaratkan diri. Tidak dinafikan cabaran dan dugaan dalam dunia seni ini banyak, namun sebagai ibu bapa yang sudah ada pengalaman inilah pentingnya untuk saling mengingatkan. Cuma syarat saya hanya satu mereka kena habiskan pelajaran dulu," katanya.

Terdahulu, persembahan Liza bersama dua anak perempuannya menyanyikan lagu Beribu Sesalan nyanyian asal Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor tular di media sosial sehingga ramai yang terpesona dengan bakat yang diwarisi dua puterinya itu.

Disiarkan pada: January 25, 2023 @ 2:52pm
d