rap

Pemergian Ashraf, paling memilukan dalam kehidupan BCL

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dari Indonesia, Bunga Citra Lestari, yang tampil di acara Konsert BCL - Blossom Intimate yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam berkongsi perasaannya mengimbau kenangan bersama suami yang juga pelakon, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Di acara konsert itu, Bunga berkongsi bagaimana pemergian Ashraf meletakkan dirinya di titik terendah dalam fasa kehidupannya.

"Buat saya secara peribadi, sebelum pandemik, saya kehilangan cinta hati saya. Saya merasakan itu adalah detik terendah dalam hidup saya.

"Bukan perkara mudah untuk saya cuba berbicara di sini, tapi saya ingin berbahagi memori dan kenangan yang ada," katanya.

Menurutnya, dia yang pernah membuat persembahan di pentas sama dalam acara konsert pada 2018, masih mampu membayangkan posisi Ashraf di tempat duduk barisan hadapan pada ketika itu.

"Kali terakhir saya di sini, ketika konsert pada 2018 bersama Anuar Zain, saya dapat bayangkan Ashraf berada di tempat duduk barisan hadapan ini pada ketika itu. Bunga juga turut berkongsi rasa terima kasih dan sayangnya kepada keluarga mentua serta iparnya yang turut hadir menyaksikan persembahannya.

"Di sini ada keluarga saya, ada umi dan daddy (ibu bapa Ashraf), Aishah (adik ipar) dan keluarga.

"Buat saya, bertemu dengan Ashraf bukan hanya bertemu dengan seorang yang rapat dan sempurna, tapi juga keluarga yang begitu mencintai saya sampai sekarang," katanya.

Bunga tampil memberikan persembahan bertenaga dengan mempersembahkan sekitar 20 lagu termasuk lagu medley, sekali gus membawa penonton melalui fasa demi fasa dalam kisah hidupnya sebagai wanita.

Terdahulu, Ashraf meninggal dunia pada 18 Februari 2020 di usia 40 tahun akibat serangan jantung.

Disiarkan pada: January 28, 2023 @ 2:58pm
d