rap

Yura Yunita lunas hutang [METROTV]

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Selepas hampir dua tahun menyimpan impian untuk beraksi di hadapan peminat di Malaysia, penyanyi kelahiran Indonesia, Yura Yunita akhirnya bakal menemui peminat tercintanya di konsert Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur, malam ini.

Yura berkata, konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu juga adalah lokasi pertama jelajah konsertnya.

"Menjadi impian terbesar saya untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Jadi ini adalah antara impian yang direalisasikan, saya sangat bersyukur dengan komitmen yang diberikan semua pihak dalam menghasilkan konsert ini.

"Paling indah, Kuala Lumpur juga adalah lokasi pertama konsert sebelum ke lokasi lain. Semoga dengan penghargaan kecil ini dapat melunaskan hutang saya kepada peminat di sini yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi," katanya.

Sedekad mencipta nama sebagai penyanyi selain memenangi pelbagai anugerah termasuk Artis Solo Wanita Pop Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2022, Yura berkata, konsert di Malaysia bakal menjadi pentas terbaik buat dirinya berkongsi apa yang dilaluinya bukan sahaja sebagai anak seni tetapi wanita dan juga isteri.

"Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang ingin saya kongsikan bersama peminat menerusi karya yang dihasilkan.

"Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi pentas saya dan peminat berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah semangat untuk sentiasa berjuang.

"Setiap daripada kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti saya. Cumanya saya diberi kelebihan untuk berkongsinya melalui lagu-lagu ciptaan saya yang akan saya persembahkan kepada peminat saya di Malaysia," katanya.

Yura yang juga penerima anugerah Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 (AMI 2017) dan menjadi Penyanyi Solo Wanita Terbaik (AMI 2018) akan membawakan lagu-lagu terbaiknya pada konsert itu antaranya Tutur Batin dan Dunia Tipu-Tipu.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 3:02pm
d