rap

'Ini masalah peribadi, harap orang lain tak masuk campur' - Cliff Umar

Oleh Mohd Roji Kawi & Ridzuan Abdul Rahman

Kuching: "Orang boleh kecam saya, tuduh saya macam-macam. Tetapi jika mereka berada di tempat saya, mungkin mereka faham keperitan yang terpaksa saya tanggung selama ini."

Itu luahan Zurini Hasbullah, bekas isteri penyanyi, Cliff Umar yang kini terpaksa membesarkan tiga anak mereka bersendirian selepas diabaikan suaminya itu sejak beberapa tahun lalu.

Lebih memeritkan katanya, dua daripada anak lelakinya yang berusia 14 dan 11 tahun disahkan mengidap autisme dan disleksia.

Anak perempuan bongsu yang berusia lapan tahun pula turut menunjukkan tanda-tanda penyakit itu dan kini masih dalam pemerhatian pakar.

Menurut bekas pramugari berusia 43 tahun itu, dia meluahkan kepayahan hidupnya di media sosial khususnya aplikasi TikTok bukannya untuk meraih simpati tetapi bagi menyedarkan bekas suaminya mengenai tanggungjawab terhadap tiga anak mereka itu.

"Jujur saya katakan, sejak kami mendirikan rumah tangga di Kuala Lumpur pada 2009, segala perbelanjaan saya tanggung kerana suami tiada pekerjaan tetap.

"Kami sah bercerai pada 2019, itu pun selepas saya sendirian turun naik mahkamah di Kuching berkali-kali untuk menuntut fasakh selepas suami gagal dikesan untuk tempoh yang lama," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Matang Jaya, di sini, hari ini.

Zurini berkata, bekas suaminya yang berasal dari Kuala Lumpur itu 'muncul' semula apabila dia menyertai pertandingan hiburan di sebuah stesen televisyen pada 2020 dan menjuarai pertandingan itu sekali gus meraih hadiah wang tunai RM100,000.

Menurut Zurini, dia menjadi perhatian warganet selepas meluahkan segala kepayahan yang dilaluinya itu menerusi TikTok, kebetulan pula selepas bekas suaminya memenangi satu pertandingan itu.

"Ada warganet yang tidak mengenali saya pun malah tidak tahu cerita sebenar, tiba-tiba menuduh saya sebagai 'gold digger', mengambil kesempatan atas kemenangan dialah dan macam-macam lagi.

"Apa yang saya lakukan ialah untuk menuntut supaya bekas suami menyedari tanggungjawab dia untuk memberi nafkah kepada anak-anaknya yang semakin membesar, itu saja," katanya.

Menurutnya, bagi menampung kehidupan bersama tiga anaknya, beliau kini bergantung kepada pendapatan menjual kraftangan iaitu beg kait yang dihasilkannya sendiri.

Selain itu, tiga anaknya turut mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) serta bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang diterima setiap tiga bulan sekali.

"Malah ada juga kawan-kawan lama di Kuala Lumpur dan Singapura menghulurkan wang bagi meringankan beban yang terpaksa saya tanggung kini.

"Ia termasuk perbelanjaan bagi menyelenggara kereta Perodua Kancil usang yang saya gunakan untuk menghantar anak-anak ke sekolah, bayar bil, sewa rumah, kos perubatan kerana kesihatan saya selalu terganggu," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Zurini sempat berpesan kepada bekas suaminya agar menyedari tanggungjawabnya sebagai bapa kepada tiga anak istimewa itu.

"Selagi ada peluang untuk berubah ke arah kebaikan, berubahlah sebab kita tidak selamanya muda.

"Berubahlah segera sebelum ajal menjemput, sebelum kita kehilangan masa dan kehilangan kasih sayang anak-anak," katanya.

Menurutnya, ketika mula-mula meluahkan keperitan hidup yang dilalui di aplikasi TikTok, dia memang amat memerlukan sokongan bekas suami untuk memberi nafkah kepada anak-anak kerana sebab ketika itu dia sakit.

"Saya memang terlantar sakit ketika itu, tambahan pula, sudah berbelas tahun saya menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak dia.

"Saya hanya mengharapkan pertolongan dia untuk anak-anaknya, bukan untuk saya. Dia tidak ingat saya pun tak apa, tetapi janganlah dia melupakan tiga anaknya ini," kata bekas Pramugari Penerbangan Malaysia dan AirAsia itu.

Sementara itu, Cliff ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana menyifatkan ia masalah peribadi.

"Minta maaf. Ini masalah peribadi dan saya selesaikan dengan dia (bekas isteri) sendiri. Saya harap orang lain hormat keputusan untuk tidak masuk campur dalam hal peribadi saya," katanya kepada Harian Metro.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 5:31pm
d