rap

Mechamato cipta sejarah menang anugerah Festival Anime Tokyo 2023

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Siri animasi Mechamato terbitan MONSTA melakar sejarah sebagai animasi pertama dari luar Jepun menang kategori Anime Fan Award di Anugerah Festival Anime Tokyo 2023, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berkata, kejayaan itu sangat membanggakan kerana Mechamato memang mendapat sokongan luar biasa dalam kalangan rakyat Jepun juga.

"Kami berterima kasih kepada semua yang mengundi Mechamato. Kami sangat teruja dengan anugerah Tokyo Anime Award Festival dari Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan industri animasi mereka.

"Ini adalah satu permulaan baik untuk Mechamato di pasaran Jepun dan juga pasaran antarabangsa. MONSTA yakin ia mampu memikat hati penonton Jepun terutama golongan kanak-kanak kerana konsepnya unik dan ceritanya penuh dengan nilai-nilai murni," katanya.

Mechamato layak dipertandingkan dalam anugerah itu kerana pernah ditayangkan di Cartoon Network Jepun pada Mac tahun lalu.

Popularitinya di sana turut melonjak naik selepas ditayangkan di platform penstriman Netflix Jepun pada Oktober lalu.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkata, mereka sangat terharu apabila Mechamato berjaya memikat penonton di Jepun dan berhasrat mahu menembusi lebih jauh pasaran di sana.

"Terima kasih Cartoon Network Jepun kerana memberi kepercayaan kepada Mechamato. Secara tidak langsung, anugerah ini dapat membantu MONSTA untuk meyakinkan pengedar di Jepun untuk menerima hasil karya anak Malaysia.

"Kami tidak mahu berhenti hanya di sini. MONSTA akan terus berusaha untuk membawa siri Mechamato ke stesen TV tempatan mereka, dan kalau mampu, untuk menayangkan Mechamato Movie di pawagam sana juga," katanya.

Diterbitkan sejak Disember 2021, Mechamato antara animasi luar bertanding di anugerah itu. Ia juga menjadi karya pertama luar Jepun memenangi kategori terbabit sejak dipertandingkan bermula 2014 lalu.

Anime Fan Award adalah kategori dibuka buat peminat mengundi animasi kegemaran mereka setiap hari selama lebih 25 hari. Mechamato meraih tempat pertama dengan lebih 40,000 jumlah undian dari dalam dan luar Jepun.

Anugerah terbabit pernah dimenangi karya popular seperti Idolish Seven pada 2021 dan 2022, Uta no Prince-sama (2020), Yuri!!! on ICE (2018, 2017) dan lain-lain.

Disiarkan pada: February 10, 2023 @ 11:23am
d