rap

Nad Zainal enggan beri kenyataan tanpa suami disisi

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya akan menjawab segala persoalan dan memberi pencerahan di media sosial bersama suami, Ungku Ismail."

Demikian kata pelakon Nad Zainal yang enggan ditemubual media buat kali pertama selepas keluar daripada hospital dan mendirikan rumah tangga.

Nad berkata, suaminya tidak mengizinkan untuk memberi sebarang kenyataan sebaliknya akan berkongsi segala persoalan menerusi video dalam masa terdekat.

"Ada perkara yang saya tidak boleh kongsikan. Dalam video itu nanti, saya dan suami akan jelaskan. 

"Kalau boleh sebarang kenyataan saya mahu lakukan bersama suami. Kalau dia (suami) tiada, saya tidak mahu bercakap.

"Kami sudah buat perjanjian untuk menjelaskan segala persoalan bersama-sama," katanya.

Ditanya mengenai tindakannya yang memilih media sosial sebagai platform untuk memberikan penjelasan, Nad memilih mengunci mulut.

"No Comment for now (tiada komen buat masa ini)," katanya.

Terdahulu, kira-kira 10 media hadir untuk membuat liputan penggambaran telefilem Mendarat Di Syurga sekali gus meminta penjelasan daripada pelakon drama Cina Buta itu mengenai isu perkahwinannya, dana rawatan ketika dimasukkan ke hospital serta dakwaan yang mengatakan dia 'bergaduh' dengan beberapa rakan selebriti. 

Untuk rekod, Nad mendirikan rumah tangga bersama Ungku Ismail yang juga perkahwinannya buat kali kedua pada 23 Januari lalu.

Bagaimanapun, berita tentang perkahwinan itu hanya dikongsikan mereka kepada umum pada 29 Januari, kira-kira seminggu kemudian. 

 

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 3:25pm
d