rap

Hampir rebah 'ditinggalkan'

Oleh Zaara Talita

BERTUNGKUS-LUMUS bekerja bagi menanggung keperluan ibu bapanya, pelakon Sherie Merlis, 51, ibarat hilang arah apabila kedua-duanya pergi menghadap Ilahi.

Selepas enam bulan kehilangan bapa, Wan Zainal Abidin akibat serangan jantung pada Oktober 2021, Sherie diuji pula dengan kehilangan ibunya yang sudah lama terlantar akibat Alzheimer.

Kehilangan ibu dan bapa dalam jarak kurang setahun hampir membuatkan dramatis popular itu hampir rebah.

"Selama ini saya bekerja untuk menyara mereka dan menyediakan keperluan mereka memandangkan ibu sudah lama terlantar.

"Apa yang berlaku adalah cabaran terbesar buat saya, apatah lagi saya kehilangan kedua-dua orang tua yang disayangi ketika saya sibuk bekerja dan tidak berada bersama mereka.

"Saya seperti hampir rebah dan hilang semangat apabila kedua-duanya pergi dalam jarak waktu yang dekat. Apa pun, hidup perlu diteruskan dan saya tidak boleh meratapi apa yang berlaku," katanya.

Pelakon yang kini muncul dengan drama Nenek Bongkok Tiga ini mengakui keperitan kehilangan kedua-dua orang tuanya apabila hidupnya didedikasikan buat mereka berdua.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Sherie diberikan amanah menjayakan watak sebagai nenek dalam siri baru yang disiarkan di platform Viu, setiap Khamis.

Sherie atau nama sebenarnya, Sharifah Saadah Wan Zainal Abidin berkata, kewujudan pelbagai medium digital memberikan kelainan untuk berkarya.

Katanya, sebagai pelakon, kewujudan platform Over The Top (OTT) memberinya peluang mencuba watak berbeza dan tidak lagi klise.

"Selama 30 tahun sebagai pelakon, saya sentiasa ingin mencuba watak yang di luar imaginasi, sebab itu saya sanggup menolak dua lagi tawaran yang datang serentak dengan drama ini.

"Watak nenek dalam Nenek Bongkok Tiga bagi saya sangat menarik kerana ada kelainan daripada watak pernah dibawakan sebelum ini," katanya.

Menurut Sherie, dia perlu melakukan 'homework' dengan secukupnya dan melazimkan budaya kerja tersendiri supaya watak yang dibawa memberi impak kepada penonton.

Selain Sherie, Nenek Bongkok Tiga arahan Datuk Yusry Abd Halim itu turut menampilkan lakonan Hun Haqeem, Meerqeen, Sara Ali, Syafie Naswip, Fimie Don, Syazwan Zulkifly, Ashraf Muslim, Datin Sofia Jane dan Rykarl Iskandar.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 6:56am
d