rap

Chef Wan menangis di konti, kongsi cerita arwah ibu

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan tidak dapat menahan tangisan ketika berkongsi cerita mengenai pemergian arwah ibunya, Allahyarham Noraini Abdullah yang meninggal dunia, pada 12 Januari lalu.

Suasana dalam konti Buletin FM juga bertukar pilu dengan tangisan Chef Wan bila lagu Kasihnya Ibu dendangan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini diputarkan pada segmen Bicara Petang itu.

Ketika ditemubual penyampai radio popular Buletin FM, Haiza, Chef Wan mengakui bukan mudah untuk kita berdepan dengan kehilangan insan yang tersayang tetapi ia adalah lumrah dalam kehidupan.

"Dalam hidup ini, memang ada saat kita gembira dan bersedih dan itu adalah lumrah dalam kehidupan. Sama ada kita suka mahupun tidak.

"Apa yang penting ialah pengajaran yang kita dapat dari hidup ini untuk menjadi orang yang baik dan bertanggungjawab," katanya.

Chef Wan berkata, kalau sudah bercerai pun kita perlu bertanggungjawab pada anak-anak kita.

"Kalau suami, tanggungjawab untuk menjaga isteri dan anak-anak dan beri nafkah," katanya.

Kata Chef Wan lagi, bagi mereka yang tidak mampu, janganlah berkahwin banyak dan menyakiti hati isteri pertama.

"Apa yang kurangnya dengan isteri pertama. Sedangkan isteri pertama pun kita tak boleh jaga dengan baik. "Pasangan suami isteri yang bercerai pula janganlah berebut dalam soal hak penjagaan anak," katanya.

Untuk rekod, ibu Chef Wan, Allahyarham Noraini Abdullah meninggal dunia pada usia 93 tahun di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, 12 Januari lalu. Allahyarham Noraini atau lebih dikenali sebagai Che Ani menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari dirawat akibat kanser dan Alzheimer.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 12:35pm
d