rap

Nadya dedah 'penyondol' rumah tangganya

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Isu 'penyondol' nampaknya tidak berkesudahan apabila pelakon Nadya Syahera mendedahkan ada wanita cuba mengganggu rumah tangganya dengan suami, Fizul Nawi.

Nadya berkata, dia bagaimanapun yakin wanita terbabit tidak mampu menggantikan tempatnya walaupun melihat kesenangan suaminya.

"Mungkin wanita ini nampak suami saya berduit dan memiliki segala-galanya.

"Tapi kalau dia ada di tempat saya, sanggup tak dia bertahan. Saya dah lapan tahun, dia baru nak bersama tiga atau empat bulan, jadi lebih baik tak perlu.

"Lupakan nak ambil laki (suami) kakak. Kalau anda sanggup bertahan macam kakak, saya berani potong jari, pergilah," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kecantikan, Nano Comestic, di sini, baru-baru ini.

Menurut Nadya, dia ingin mengingatkan kepada kaum wanita berstatus bujang supaya tidak mengganggu keharmonian pasangan suami isteri.

"Saya lihat sekarang ini ramai wanita yang solo, nak cuba pasangan orang. Cuba fikir, kalau anda buat pada seseorang, esok lusa, mungkin benda itu boleh jadi pada anda juga.

"Sebab dunia ini ibarat roda, kalau kita buat orang, esok lusa mungkin kena pada kita. Sekarang ini, saya nampak Allah memang bayar tunai. Kalau awak ambil, boleh rasa bahagia, teruskan.

"Saya dah tahap macam itu sekarang. Kalau anda nak, silakan. Kalau anda boleh bahagia, bahagia itu rezeki anda. Kalau anda tak boleh bahagia dengan cara ini, tak apa Allah beri cara lain," katanya.

Untuk rekod Nadya dan Fizul mendirikan rumah tangga pada September 2015 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aleena Rose, Mohamad Dayyan dan Muhammad Barr Adam.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 4:34pm
d