rap

'Bukan saja saya, Syura, keluarga pun terkesan' - Zurina Badron

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur : Isteri kepada pelawak Chot XOXO, Zurina Badron mengakui terkesan akibat tindakan bekas isteri Chot, Siti Zafirul Azzah yang menularkan kisah rumah tangga mereka sekali gus melabelkan Zurina sebagai individu yang menjadi penyebab perceraian mereka.

Zurina yang juga kakak kepada penyanyi Syura Badron itu berkata, tindakan Zafirul atau Jaja itu tidak hanya memberi impak kepadanya, tetapi juga kepada keluarganya.

"Selepas apa yang berlaku, perkara ini memberikan impak dan membabitkan banyak pihak. 

"Bukan saja saya, bahkan keluarga, termasuklah adik saya, Syura turut terkena tempias kecaman walaupun dia tak ada memuat naik sebarang hantaran," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Syura banyak memberikan nasihat dan kata-kata positif kepadanya memandangkan dia sudah lama berada dalam industri seni tanah air.

"Dia dah lama berada di dalam industri seni tanah air dan sudah tahu bagaimana untuk berhadapan dengan situasi sebegini. 

"Katanya, sekali dianggap 'penyondol', orang akan anggap sebagai penjahat. Dia berikan kata-kata positif kepada saya dan menasihatkan saya supaya diam sahaja," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Chot dan Jaja, Zurina berkata, hubungannya dengan Jaja sebelum ini umpama adik dengan kakak memandangkan Jaja juga sudah ikhlas melepaskan Chot.

"Bagi saya, memang ada salah di pihak saya juga dan saya tak cakap yang saya betul. Cumanya, sampai sekarang, saya masih keliru kerana Jaja pernah berbincang dengan saya dan meluahkan bahawa dia ikhlas dengan semua yang berlaku.

"Apa makna ikhlas itu sekiranya dia mengambil tindakan untuk menularkan perkara ini dengan cara begitu? Mana hubungan baik kita seperti sebelum ini? 

"Pada ketika itu (selepas Jaja bercerai dengan Chot), hubungan saya dan dia macam kakak dan adik. Dia pernah ikhlaskan dan beritahu mengenai ketenangan selepas bercerai.

"Atau, adakah tindakannya itu ada hubungan dengan hasutan orang lain? Atau mungkin ada kepentingan lain?" katanya.

Zurina kini menggunakan khidmat peguam bagi mencari jalan penyelesaian dan perdamaian.

"Saya pun nak dengar jawapan daripada pihak dia atas apa yang berlaku. Saya nak sangat bersemuka dengannya. Bukan untuk keruhkan keadaan, tetapi saya inginkan penjelasan. Saya pun dah berkahwin, jadi tentulah saya mahukan kehidupan yang tenang.

"Saya harap, dia sedar mengenai notis yang dihantar peguam dan bersetuju untuk berjumpa," katanya.

Terdahulu, Jaja tampil dalam program Melodi dan menjelaskan bahawa tindakannya menularkan gambar serta kisah rumah tangga mereka bukan niat untuk menjatuhkan maruah sesiapa.

Chot dan Jaja bercerai pada Mac tahun lalu selepas Jaja memfailkan penceraian. Chot kemudiannya mengikat tali pertunangan dengan Zurina pada Ogos lalu dan berkahwin pada 23 Januari lalu.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 10:06pm
d