rap

'Kenal, hormat pada pasangan artis masing-masing'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit, Sharifah Shahora menyeru agar artis yang bergandingan dengan artis yang sudah berkahwin, supaya kenal dengan pasangan gandingan mereka itu bagi membuahkan rasa hormat.

Tindakan itu juga akan membantu untuk mengelakkan mereka terjebak dengan cinta lokasi, lebih-lebih lagi sekiranya gandingan mereka itu sudah berumah tangga.

"Saya sendiri pun dahulu, cinta lokasi dengan Raja Mukhriz. Tapi, saya pilih orang yang tepat sebab masing-masing bujang. Kemudian, kami bercinta dan berkahwin. Alhamdulillah.

"Saya tahu, perasaan itu tak boleh nak disekat. Kalau kita dah kahwin pun, kadang-kadang, ada juga yang jatuh hati. Tapi, maksudnya, kita kenallah pasangan orang yang sudah berkahwin itu.

"Contohnya, untuk orang yang bergandingan dengan saya, mereka kenal Abang (Raja Mukhriz). Jadi, akan muncul rasa hormat," katanya.

Tambahnya, pasangan kepada artis yang sudah berkahwin itu juga tidaklah perlu hadir ke set setiap hari sekiranya rasa hormat dan kepercayaan itu wujud.

"Janganlah (pasangan) hari-hari ada di set. Nanti, bosan pula. Jadi, yang bergandingan kena kenal pasangan dan sesekali pasangannya datang ke set, tegur-tegur.

"Tapi, sebenarnya banyak juga artis-artis yang terjebak dalam cinta lokasi dan berkahwin. Jadi, dari sudut lain yang positif, ia umpama satu doa juga," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 9:01pm
d