rap

'Aliff, Sophia profesional bekerja, fokus komitmen' - Farid

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penerbit drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah dikenali Farid Zaid menafikan dakwaan pelakon utamanya, Aliff Aziz dan Sophia AlBarakbah kini bersikap  'dingin' dan tidak berkomunikasi lagi selepas kontroversi melanda mereka, baru-baru ini.

Farid dihubungi berkata, dia yang selalu berada di lokasi penggambaran drama itu dari hari pertama sehingga sekarang, tidak nampak sebarang perubahan dan kedua-duanya sangat profesional ketika bekerja, terutama fokus pada komitmen masing-masing.

"Isu yang berlaku sudah pun reda dan tak sangka pula diperkatakan kembali, dengan cerita lain pula. Tapi, apa yang boleh saya kata, komunikasi mereka berdua baik-baik saja selepas kontroversi itu. Kedua-duanya kini tetap profesional ketika bekerja.

"Pergaulan mereka di set pun tidak keterlaluan, masih biasa-biasa saja. Termasuk, masing-masing juga tidak beremosi dan tarik muka di antara satu sama lain. Dalam soal bekerja, memang mereka profesional. Kalau nak kata 'mesra', ia pada saya subjektif," katanya kepada Harian Metro.

Melihat positif, Farid berkata dia bagaimanapun gembira kerana sambutan penonton terhadap drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah di TV3 agak baik kerana sering 'trending' (sohor kini) di media sosial seperti Tik Tok.

Memahami apa yang berlaku dan cerita cuba ditimbulkan mungkin ada kaitan dengan aktiviti penggambaran yang belum selesai, Farid berkata, baki penggambaran dalam 20 hingga 25 peratus lagi yang masih membabitkan komitmen Aliff serta Sophia.

"Penggambaran selesai kira-kira dua minggu lagi dan saya tidak sabar untuk ia habis segera. Selagi penggambaran drama ini tidak tamat, ruang untuk pelbagai cerita lain timbul, pasti akan ada.

"Saya juga faham, kita tidak boleh menutup mulut orang untuk bercerita. Apapun, saya melihat semua yang diperkatakan ini adalah gosip dan realitinya kerjasama semua barisan pelakon dan pasukan produksi amat profesional," katanya.

Terdahulu, sumber memaklumkan Aliff dan Sophia sebagai hero serta heroin drama itu didapati bekerja secara profesional untuk menyiapkan baki penggambaran babak mereka yang belum selesai, namun dilihat 'dingin' dan didakwa  tidak lagi berkomunikasi dengan mesra seperti sebelum ini.

Baru-baru ini, sebelum drama berkenaan disiarkan slot Akasia TV3 mulai 6 Februari lalu, timbul kontroversi membabitkan Aliff dan Sophia sehingga tercetusnya isu 'orang ketiga' dalam rumah tangga Aliff dan isterinya, Bella Astillah yang hangat diperkatakan hingga tular di media sosial.

Disiarkan pada: February 19, 2023 @ 7:25pm
d