rap

Awesome TV tiada agenda politik

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pihak Berita 757 dari Awesome TV sudah berjumpa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam untuk memberi penjelasan berhubung paparan laporan berita mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam disiarkan pada 15 Februari lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan stesen TV itu, menjelaskan laporan berkenaan dibuat susulan laporan diketengahkan oleh portal The Edge Markets di theedgemarkets.com bertajuk 'Reducing Government Opex Warrants a Look Into Emoluments' pada tarikh sama (15 Februari).

 "Walau bagaimanapun, sesetengah pengamal media sosial telah memanipulasikan laporan Berita 757 terbabit dan mendapat reaksi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang mengeluarkan kenyataan bahawa Berita 757 telah membuat laporan palsu dan fitnah, kononnya, kerajaan akan mengurangkan jumlah penjawat awam. 

   "Justeru, pihak Berita 757 dari Awesome TV sudah berjumpa SKMM hari ini (semalam) untuk memberi penjelasan mengenai isu yang kami percaya sudah disalah tafsirkan atau nasihat yang salah diberikan kepada menteri.

"Keadaan menjadi rumit apabila menteri terpengaruh dengan beberapa pengamal media sosial yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan berita berkenaan. 

"Ini termasuklah, Datuk Lokman Adam yang mengeluarkan kenyataan palsu mengaitkan Awesome TV dengan Astro dan Tun Dr Mahathir Mohamed," jelas kenyataan itu lagi.

Menurutnya, itu tidak benar sama sekali dan Awesome TV tidak ada apa-apa kaitan dengan Astro atau mana-mana parti politik.

"Kita menolak sekeras-kerasnya kenyataan Lokman yang cuba mengaitkan berita ini dengan isu sentimen perkauman. Ini adalah suatu provokasi.

"Berita 757 mempertahankan laporan yang dibuat pada 15 Februari lalu yang tidak ada kepentingan selain daripada memainkan peranan berita yang telus dan tulus demi kepentingan negara," ujarnya.

Terdahulu, difahamkan isu tercetus apabila Berita 757 didakwa melaporkan bahawa pemerhati telah mencadangkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menilai dan menstruktur semula jumlah kakitangan awam dari 1.6 juta kepada 800 ribu kerana jumlah perbelanjaan tahunan penjawat awam yang mencapai nilai tinggi iaitu RM114.9 bilion.

 

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 11:56am
d