rap

Raysha kini isteri Nabil

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur:  Pelakon Raysha Rizrose,27, selamat bergelar isteri kepada pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri,29, pada jam 8.52 malam di Grand Hyatt Hotel, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad bersaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. 

Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

Raysha atau nama sebenarnya , Farza Naquraisha Mohd Fariz yang anggun mengenakan gaun putih meluahkan rasa syukur apabila segala perancangan berjalan lancar.

"Alhamdulillah segala yang dirancang salama ini dipermudahkan. 

"Saya amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, saya terima banyak mesej dan doa yang baik-baik. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.

"Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insha-Allah," katanya.

Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan mereka  sejak 10 tahun lalu. 

"Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.

"Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami," kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Terdahulu pasangan itu selamat melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup di Tropicana Golf & Country, Petaling Jaya, Selangor pada 22 Disember tahun lalu. 

Untuk rekod, Raysha menjalinkan hubungan bersama Nabil selama 10 tahun sejak di bangku sekolah menengah.

 

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 9:35pm
d