rap

Namie tak kesal tinggal kerjaya guru

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pempengaruh dan pelawak Namie mengaku keputusan meninggalkan profesion sebagai guru sejak Mac tahun lalu adalah pilihan tepat bagi memberi fokus kepada kerjaya seni.  

Namie,27, atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin berkata, karier sebagai guru hari ini amat mencabar selain tidak menafikan dirinya pernah terbawa-bawa emosi hingga ke rumah. 

"Tiada istilah lebih baik bergelar guru saja selepas memilih jalan (dunia seni)  ini. Bagi yang masih berkhidmat mereka adalah seorang 'fighter', saya tidak mampu melakukannya. 

"Kerjaya sebagai guru ini amat mencabar selain mahu menjaga kesihatan mental. Tambah pula, saya mempunyai isteri dan anak.

"Saya terpaksa jujur di sini apabila saya pernah terbawa-bawa tekanan yang dihadapi seperti hilang 'mood' di rumah, sukar tidur dan macam-macam lagi. Jadi lebih baik saya meninggalkan berbanding kekal berkhidmat sebagai guru,"katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Namie, biarpun kerjaya guru menawarkan gaji tetap selain memiliki skim pencen pada hari tua namun dia tidak menyesal dengan keputusannya itu. 

"Kalau saya rasa menyesal maknanya saya salah membuat keputusan. Cuma saya anggap segala apa yang sudah ditentukan adalah satu ujian. 

"Diberikan rezeki yang berganda juga adalah satu ujian untuk melihat seseorang itu akan lupa diri atau sebaliknya. 

"Jadi untuk rasa menyesal itu tiada. Sehingga hari ini saya masih menghubungi rakan-rakan guru serta anak murid saya. Malah mereka juga selalu masuk 'live' saya," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2023 @ 1:21pm
d