rap

YouTuber Malaysia dicalonkan dalam Nickelodeon Kid's Choice Awards 2023

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur : Pengamal YouTube Aqil Zulkiflee, 27, tidak menyangka dia menjadi wakil tunggal Malaysia dicalonkan dalam acara berprestij Nickelodeon Kid's Choice Awards 2023 dalam kategori Fav Asian Creator.

Aqil atau nama sebenarnya Ahmad Aqil Zulkiflee berkata, dia terkejut apabila menerima emel daripada pihak Nickelodeon bulan lalu walaupun pada awalnya menyangka ia emel palsu.

"Sebenarnya saya ingatkan emel itu adalah 'scammer'. Memang hari-hari saya dapat emel yang guna nama syarikat besar tapi rupanya taktik 'scammer'. Bila saya periksa betul-betul, emel itu memang sahih dan saya pun setuju untuk dicalonkan.

"Memang tak sangka dipilih sebagai wakil Malaysia kerana yang bertanding pun hebat-hebat belaka. Berdasarkan kajian saya, kali terakhir ada wakil Malaysia untuk kategori YouTube adalah lebih 10 tahun lalu," katanya.

Bersaing dengan tiga calon lain itu Gen Halilintar dari Indonesia, Hikakin (Jepun), dan Niana Guerrero (Filipina), tidak mematahkan harapan Aqil untuk memenangi anugerah itu.

Katanya, dia kini menggandakan usaha untuk memancing rakyat Malaysia mengundinya.

Aqil yang juga pemenang trofi YouTuber Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 itu yakin sokongan rakyat negara ini mampu bantunya realisasikan impian itu.

"Peluang ini bukan senang nak dapat jadi saya kena usaha sebaik mungkin. Setiap hari saya akan buat video dan maklumkan kepada penonton untuk terus mengundi saya. Baik menerusi YouTube, Instagram dan WhatsApp.

"Jujur saya memang nak menang apatah lagi dapat mengalahkan nama-nama hebat yang bertanding. Kemenangan itu amat bermakna buat saya sebagai batu loncatan untuk mengembangkan lagi nama saya," katanya.

Mula aktif memuat naik video YouTube ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, Aqil memilih untuk terus bekerja sendirian dan tidak berhasrat membesarkan pasukan produksi penghasilan kandungannya.

"Memang ramai menawarkan diri ingin bekerja dengan saya terutama yang mahir dalam suntingan video. Tapi saya tidak melihat keperluan itu kerana saya sendiri masih boleh lakukannya sendiri dengan pertolongan seorang pembantu.

"Lagipun, saya enggan terikat komitmen besar untuk mengurus kakitangan dan ingin hasilkan video ikut masa serta rentak sendiri," katanya.

Untuk mengundi Aqil, boleh dilakukan menerusi laman web http:// kca.nickelodeon.tv/vote.

Disiarkan pada: February 24, 2023 @ 12:56pm
d