rap

Ms Puiyi tak kisah dilabel simbol seks

Oleh Ramlah Zainal

Petaling Jaya: Pempengaruh sensasi yang kini bergelar pelakon Ms Puiyi, 24, mengakui tidak kisah dengan gelaran simbol seks yang melekat dengan dirinya sejak dulu.

Menurut Puiyi atau nama sebenar, Siew Pui Yi, dia tidak mahu berasa risau memikirkan tanggapan orang pada dirinya.

"Saya tidak mahu pening kepala memikirkan cakap-cakap orang pada diri ini.

"Pada masa sama, saya juga tiada masalah untuk melakonkan watak atau imej seksi dalam lakonan.

"Tapi kalau beraksi erotik dalam platform lain, saya sudah tidak buat semua itu lagi,"katanya kepada Harian Metro.

Puiyi ditemui pada tayangan perdana filem kontroversi Pulau bersama pihak media yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Mengenai perkembangan kariernya pula, Puiyi berkata, dia juga kini menceburi kerjaya sebagai DJ di kelab malam.

"Sebagai DJ kelab malam, kadang-kadang saya  juga perlu beraksi seksi bergantung pada acara dan festival dijayakan.

"Selain DJ, saya juga menjadi penerbit muzik. Saya juga merancang untuk muncul dengan single tidak lama lagi.

"Selain itu, saya juga akan memberi fokus pada projek filem dan ada beberapa filem yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lakonannya dalam filem Pulau arahan Euho pula, kata Puiyi, dia melakonkan watak pembantu iaitu Kitty.

Katanya, dia juga berasa seronok menimba pengalaman berlakon dalam filem itu.

"Sebenarnya, saya berasa agak takut dan berdebar menanti maklum balas dari penonton.

"Tapi saya percaya ramai peminat yang menanti tayangan filem Pulau di pawagam bermula 9 Mac nanti," katanya.

Untuk rekod, Puiyi adalah pempengaruh sensasi dalam media sosial yang cukup terkenal dengan konten erotik dan mencolok mata serta juga mempunyai seramai 20.4 juta pengikut di laman Instagram.

Pada awal Disember lalu, Puiyi juga mengumumkan pengundurannya sebagai bintang porno dan perlahan-lahan membina imej bersih serta tidak lagi membuat konten erotik untuk tontonan di platform dewasa.

 

Disiarkan pada: March 2, 2023 @ 2:31pm
d