rap

Marsha nak buat rawatan IVF

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur : Penyanyi popular, Marsha Milan, 37, merancang untuk mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha untuk mendapatkan anak selepas tujuh tahun berkahwin.

Marsha berkata, dia juga sudah berbincang dengan suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed mengenai perkara itu.

"Kami sudah berusaha bermacam cara termasuk rawatan tradisional untuk mendapatkan anak sepanjang tempoh perkahwinan.

"Hasil pemeriksaan, doktor beritahu kami sihat dan tiada masalah dari aspek kesihatan untuk mendapatkan anak cuma belum ada rezeki saja lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Marsha, buat masa ini mereka masih mencari masa yang sesuai untuk mencuba kaedah berkenaan.

"Sebelum ini, saya sibuk dengan komitmen pada Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37). Selepas AJL37 selesai, barulah kami berbincang semula mengenai IVF.

"Maklumlah untuk buat rawatan itu, saya perlu mengambil cuti yang panjang dari aktiviti seni. Insya-Allah, jika semuanya berjalan seperti direncanakan, saya akan mencuba kaedah IVF itu pada tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Marsha juga mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat jika segala usaha yang dilakukan untuk mendapat anak sendiri tidak berjaya.

"Suami juga tidak menghalang tetapi buat masa ini, dia tidak mahu saya berfikir sejauh itu. Apapun, saya mohon doa daripada semua peminat semoga impian kami untuk memiliki anak sendiri tercapai tidak lama lagi," katanya.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015.

Disiarkan pada: March 3, 2023 @ 1:04pm
d