rap

Mentega Terbang di luar bidang kuasa LPF

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Tayangan atau penstriman filem kontroversi, Mentega Terbang adalah di luar bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).

LPF dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan semakan didapati filem itu tiada dalam rekod penapisan LPF.

"Bagaimanapun, LPF sentiasa peka dan komited dalam memastikan unsur-unsur negatif termasuk elemen yang bertentangan dengan akidah dalam filem dapat dicegah daripada disiar, dipamer, disebar, ditayang atau diedarkan secara konvensional kepada masyarakat umum di Malaysia," kata kenyataan itu.

Katanya, LPF kini sedang meneliti semua aspek berkaitan secara menyeluruh sebelum tindakan selanjutnya diambil berhubung filem terbabit.

"LPF melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiar, dipamer, disebar, ditayang atau diedar secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui Internet," katanya.

Menurutnya, dalam mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan filem dan bahan publisiti filem, LPF akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2010.

"Ia merangkumi aspek-aspek seperti keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya, ketertiban dan ketatasusilaan," katanya.

LPF juga tidak mengeluarkan sebarang kelulusan terhadap filem Mentega Terbang untuk tujuan tayangan umum.

"Sekiranya masyarakat mendapati filem itu ditayangkan secara konvensional di mana-mana premis, aduan boleh disalurkan kepada Pejabat Penapisan Filem, KDN melalui e-mel ppf@moha.gov.my atau Sistem Pengurusan Aduan Awam KDN di pautan https://moha.spab.gov.my/eApps/system/index.do," katanya.

Terdahulu, banyak pihak mempertikaikan filem yang ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19

Januari lalu kerana didakwa mempermain dan menghina Islam.

Ia turut mendapat perhatian Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini terhadap penerbit filem terbabit.

Mereka turut menggesa pihak berkuasa menyiasat filem ini dan mengambil tindakan undang-undang ke atas penerbit dan pengarah filem ini di bawah Akta Hasutan 1948.

Disiarkan pada: March 3, 2023 @ 8:21pm
d