rap

Mentega Terbang nafi mempersenda Islam, mahu Zabidi buat permohonan maaf

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penerbit, pengarah dan penulis skrip filem kontroversi, Mentega Terbang mengemukakan notis tuntutan kepada penulis, Zabidi Mohamed supaya memadamkan kenyataan yang mengaitkan filem itu sebagai mempermainkan dan mempersenda agama Islam.

Mereka turut menuntut Zabidi membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan fitnah yang dibuat terhadap pasukan Mentega Terbang.

Pengarah dan penulis skripnya, Mohd Khairi Anwar Jailani dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram malam tadi berkata, tindakan itu diambil susulan penulisan Zabidi di Facebook yang mendakwa Mentega Terbang sebagai filem menghina, meremeh, merendah-rendahkan, memperleceh, menodai dan mempersendakan agama Islam.

"Kami merujuk kepada kenyataan-kenyataan dibuat Zabidi Mohamed di laman Facebooknya masing-masing pada tarikh 25 Februari, 2 Mac dan 3 Mac yang tersebar secara meluas sejak beberapa hari lalu," katanya.

Selain Khairi, empat lagi individu yang terbabit dalam penghasilan filem Mentega Terbang iaitu Tan Meng Kheng, T Arjun, R Vishnuvarman dan Ti-Teng Hui turut menafikan sebarang dan semua bentuk dakwaan bahawa filem itu sama sekali berusaha untuk menghujat, mengkufur dan berhasrat untuk mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti didakwa Zabidi.

"Untuk itu, kami mengarahkan peguam kami untuk menuntut Zabidi supaya memadamkan kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada kami atas kenyataan fitnah yang dibuat terhadap pasukan Mentega Terbang dan saya sendiri," katanya.

Khairi turut memuat naik notis tuntutan daripada peguam yang dilantik bertajuk Fitnah Terhadap Penerbit, Direktor Dan Penulis-Penulis Skrip Filem Mentega Terbang yang dihantar kepada Zabidi bertarikh 3 Mac.

Notis itu turut mendakwa penulisan Zabidi adalah tidak benar, berniat jahat dan fitnah. Ia juga bertujuan untuk menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti mereka untuk mendatangkan kutukan dan ancaman.

Zabidi yang juga bekas majistret dan peguam juga perlu memberi maklumbalas dalam masa 48 jam dari tarikh notis ini dikeluarkan.

Disiarkan pada: March 4, 2023 @ 8:16am
d