rap

Imaginur dapat 'tonik' pawagam

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengarah Nik Amir Mustapha, 36, terharu apabila pihak pawagam beri sokongan padu dan menambah lagi slot tayangan filem Imaginur selepas mendapat sambutan serta penerimaan luar biasa penonton.

Nik Amir berkata filem terbabit memang bertujuan untuk menambat hati penonton tempatan dan sambutan diraih setakat ini membuktikan karya sebegitu makin diterima masyarakat.

"Pada awalnya jumlah panggung secara purata tak meluas macam filem 'blockbuster' lain. Tapi lepas penerimaan meningkat, pihak panggung sangat-sangat menyokong dan memberikan kami masa tayangan yang sangat memberangsangkan.

"Alhamdulillah. Kami sangat bersyukur dengan resepsi penonton yang sudah menonton. Setakat ini pencapaian ini sangat bermakna bagi kami sebab filem seperti Imaginur bukan sebuah filem yang senang diterima masyarakat.

"Tapi kami memang percaya zaman sekarang ini, orang dah boleh mula terima karya seperti ini. Jadi harapnya nanti akan lebih banyak filem dengan semangat seperti Imaginur yang dapat diterbitkan," katanya.

Nik Amir berkata, Imaginur juga turut mendapat tayangan di negara jiran yang mana baginya sokongan dari luar umpama bonus buat mereka.

"Kami sedang tayang di empat lokasi di Singapura dan satu di Brunei. Untuk negara luar pula, Imaginur cuma setakat ini hanya ada tayangan perdana di New York Asian Film Festival tahun lepas saja.

"Filem ini sebenarnya untuk orang Malaysia, jadi apa-apa tayangan di luar cuma bonus. Kalau orang kita sudah terima, itu sudah cukup bermakna. Bila pawagam sokong filem tempatan seperti kami, memang sangat-sangat membantu dari segi kutipan dan penerimaan penonton," katanya.

Selepas 10 hari tayangannya, filem bergenre Sci-Fi Romantik itu dibintangi Beto Kusyairy dan Diana Danielle itu berjaya mengutip RM2.2 juta.

Disiarkan pada: March 5, 2023 @ 12:07pm
d