rap

Aqil atasi wakil Indonesia, Jepun, Filipina untuk julang trofi KCA

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengamal YouTube Aqil Zulkiflee, 27, mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi trofi Fav Asian Creator pada acara berprestij Nickelodeon Kid's Choice Awards (KCA) 2023.

Aqil atau nama sebenarnya Ahmad Aqil Zulkiflee berasa sangat bangga dan terharu kerana usahanya berbaloi apabila tidak putus memohon ramai untuk mengundinya dalam acara itu.

"Terima kasih kepada semua yang sudah mengundi saya. Adalah satu kebanggaan besar untuk saya dapat mewakili Malaysia.

"Akhirnya ia (trofi) milik saya," katanya yang berjaya menewaskan tiga calon lain itu Gen Halilintar dari Indonesia, Hikakin (Jepun), dan Niana Guerrero (Filipina).

Aqil juga pemenang trofi YouTuber Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-34 sebelum ini pernah berkongsi memang sangat idamkan kemenangan itu meskipun saingannya hebat.

"Kemenangan itu memang besar maknanya buat saya untuk menjadi batu loncatan untuk ke tahap lebih jauh sebagai pengamal YouTube. Disebabkan itu saya benar-benar lakukan yang sebaiknya untuk ajak orang undi saya," katanya.

Pada KCA kali ini, turut unggul adalah bintang pop Harry Styles yang menang besar termasuk kategori Favorite Global Music Star, Favorite Male Artist, dan Favorite Song (As It Was).

Anugerah itu turut dimeriahkan dengan penampilan Olivia Rodrigo, Dwayne 'The Rock' Johnson, Jenna Ortega, Kelly Rowland, Bella Boarch, Dove Cameron, Miranda, Cosgrove, Keegan-Michael Key, dan MrBeast.

Acara penuh anugerah terbabit boleh ditonton menerusi saluran Nickelodeon pada 8 Mac, jam 6.30 petang.

Disiarkan pada: March 6, 2023 @ 10:40am
d