rap

Sharifah Rose salam Bright Vachirawit kerana menghormati

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Sharifah Rose menjelaskan tindakannya bersalaman dengan artis daripada Thailand iaitu Bright Vachirawit kerana enggan bersikap biadab.

Aksi spontan Rose menyambut salam di sebuah acara produk penjagaan kulit baru-baru ini menerima kritikan netizen.

Jelas Rose, pada mulanya dia hanya melambai sahaja namun Bright menghulurkan tangan untuk bersalaman bagi menyambut lambaiannya itu.

"Masa itu, saya hanya lambai saja tapi dia yang hulur tangan untuk salam. Saya rasa agak biadab jika tidak menyambut salamnya kerana dia mungkin tak tahu budaya kita kan.

"Jadi, saya sambut tangan dia sebagai menghormati la. Saya pun tidaklah berlebih-lebihan. Saya sambut tangan pun sebab dia hulur," katanya.

Rose berkata demikian ketika ditemui di Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 dan Raya 2023 yang diadakan di Hotel ST Regis, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Rose, dia mengakui sudah terbiasa dengan netizen yang sentiasa ingin mempertikaikan setiap apa yang dilakukannya.

"Saya rasa, biasalah netizen semua benda nak pertikaikan. As long as (asalkan) bagi saya benda itu tak ada berlebih, hanya salam sebab menghormati saja," ujarnya.

Terdahulu, netizen menganggap tindakan Sharifah Rose bersalaman dengan artis Thailand itu tidak bersesuaian dengan imejnya yang bertudung.

Disiarkan pada: March 6, 2023 @ 12:25pm
d