rap

'Lagu Terus simbol saya sudah 'move on' - Puteri Sarah

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana atau Sarah, 38, tampil melancarkan lagu berjudul Terus berkisar mengenai kisah berlaku dalam kehidupannya termasuk kemelut rumah tangga, hari ini.

Sarah berkata, dia sengaja memilih tarikh 8 Mac iaitu hari ini yang juga Hari Wanita Sedunia kerana mahu mengabadikan tarikh itu sebagai simbol dia sudah 'move on'.

"Saya mahu jalan terus dan tidak lagi mempedulikan apa saja kemelut yang berlaku. Sebagai wanita dan yang paling penting sebagai seorang ibu, saya harus terus kuat!"

"Saya harus bangkit daripada kesedihan dan meneruskan kehidupan. Bangkit bukan bermakna ingkar, tapi lebih kepada menyayangi diri sendiri dan tidak membiarkan diri dipijak," katanya.

Lirik lagu Terus ditulis Sarah bersama komposer lagu ini, Faizal Ulwi dan dinyanyikan Sarah Fazny dan Zayani.

Puteri Sarah berkata, dia tak mahu terus bersedih dan meratapi nasib diri dan lagu itu antara manifestasi isi hatinya.

"Lagu ini memang mengisahkan apa yang terjadi kepada diri saya. Apa yang berlaku selama ini saya ceritakan dan diterjemah menjadi sebuah karya. Terus memang mewakili isi hati saya.

"Saya gembira karya ini akhirnya dapat menemui pendengar hari ini. Setidaknya mereka yang senasib dengan saya dapat bangkit dan meneruskan kembali hidup seperti dulu," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2023 @ 11:25am
d