rap

'Kami dah lama tak macam suami isteri' - Puteri Sarah

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Dia masih tidak mahu melepaskan saya kerana mengatakan masih ada sinar. Sinar apa? Saya masuk hospital baru-baru ini pun dia tak melawat, tak tanya khabar."

Demikian kata isteri pertama pengarah, Syamsul Yusof iaitu Puteri Sarah Liyana yang sudah tidak nampak jalan pendamaian dan penceraian adalah jalan terbaik buat mereka.

Puteri Sarah berkata, dia memohon agar Syamsul menceraikannnya dengan segera selepas sudah berkahwin lagi satu dengan Ira Kazar.

"Saya sudah setahun tidak bertemu dia dan selepas setahun, ini baru pertama kali saya berjumpa dengannya. Apa yang ada sinar lagi? Biarkan saya pergi.

"Saya harapkan supaya saya dilepaskan dengan baik. Jangan susahkan lagi keadaan. Untuk apa? Awak dah kahwin baru, pergilah dekat isteri sana. Saya tak marah," katanya. 

Menurut Puteri Sarah, salah satu faktor dia nekad menuntut cerai kerana mereka sudah tidak lagi menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

"Kami dah lama tak macam suami isteri. Dia dah lama tak jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.

"Nafkah anak-anak dia tak abaikan. Lagi sekali, nafkah anak-anak dia tak abaikan," katanya. 

Menurut Puteri Sarah, pintu hatinya sudah tertutup untuk berdamai kerana  perkara itu sepatutnya dilakukan beberapa tahun lalu. 

"Perbincangan itu sepatutnya berlaku tiga tahun lepas, kepada orang-orang di luar yang kata saya menghalang poligami, mereka semua sebenarnya tak tahu apa yang berlaku.

"Pada waktu itu saya tutup aib dia kerana masih sayang, tapi sekarang bila tak mahu melepaskan saya, saya jadi tertanya-tanya kenapa?

"Saya hanya mahu keluar daripada masalah ini, saya nak move on, dah terlambat kalau baru sekarang nak tersedar isteri dah hilang," katanya.

Terdahulu Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Disiarkan pada: March 8, 2023 @ 12:19pm
d