rap

Suamiku Lelaki Pendosa bolot empat anugerah, termasuk Drama Terbaik 

Oleh Ramlah Zainal

Putrajaya: Drama Suamiku Lelaki Pendosa terbitan Global Station Sdn Bhd diangkat sebagai Drama Terbaik di Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 (TADS 2023) yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

 Bukan hanya itu, drama Suamiku Lelaki Pendosa juga menggungguli tiga lagi kategori iaitu Pengarah Terbaik menerusi Eyra Rahman, kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Aaron Aziz) dan kategori Pelakon Antagonis Terbaik (Gambit Saifullah). 

 Sebanyak 15 kategori dipertandingkan membabitkan sebanyak 10 kategori terbaik dan lima kategori popular pada edisi kedua TADS 2023.

 Bagi kategori Drama Popular dimenangi Bisik-Bisik Gelora terbitan Global Station Sdn Bhd.

 Manakala, kategori Penulis Skrip Terbaik dimenangi Wan Mahani Wan Hassan & Maizura Mohd Ideris (Drama Ayahanda) 

 Selain itu, kategori Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Ummi Nazeera (Risik Pada Hati), Pelakon Lelaki Popular dimenangi Redza Rosli (drama Kekasih Hati Mr Bodyguard,  Pelakon Wanita Popular dimenangi Anna Jobling (Melur Untuk Firdaus) dan Pasangan Drama Terbaik (Anna Jobling & Meerqeen).

  Tidak ketinggalan, kategori OST Terbaik dimenangi Lafaz Cinta ( Khai Bahar & Aina Abdul), Drama Novel Adaptasi Terbaik (Melur Untuk Firdaus), Anugerah BBNU Tonton (Aniq Suhair), Drama 8TV Terbaik (My Dream My Wish) dan  Oppa Pilihan Tonton dengan kerjasama tvN  dimenangi Cha Eun Woo ( True Beauty).

  Barisan artis yang menggalas tanggung-jawab sebagai penyampai trofi adalah Ummi Nazeera, Nabila Huda, Meerqeen, Anna Jobling, Fasha Sandha, Datuk Rosyam Nor, Aniq Suhair, Siti Khadijah Halim dan ramai lagi.

  Acara pada malam ini disemarakkan lagi dengan persembahan mantap dari barisan artis popular tanah air seperti Zaki dan Yamani, Stacy, Mimi Fly, Liza Hanim, Misha Omar, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ayda Jebat, Fyna Jebat, Haqiem Rusli, Afieq Shazwan, Amir Masdi, Rahmat Mega dan Hael Husaini.

 TADS 2023 dikendalikan gandingan Sherry Al Hadad dan Sharifah Shahirah sebagai pengacara.

  Akhbar Harian Metro dan Berita Harian diumumkan sebagai Rakan Media, manakala Oh Bulan dan Xtra sebagai rakan Digital.

  TADS 2023 yang dihangatkan oleh KFC kembali dengan edisi kedua dan bersiaran secara langsung mulai jam 9 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton.

 

 

 

Disiarkan pada: March 12, 2023 @ 11:57pm
d