rap

Madu Miera Leyana terkilan tak dapat bertemu anak

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Putrajaya: Madu kepada pelakon Miera Leyana, Adibah Abdul Mutalib, terkilan tidak dapat bertemu dengan anaknya Anisa, 12, ketika menerima rawatan di hospital akibat masalah sukar membuang air.

Adibah mengakui, selepas Anisa diambil adik suaminya, Kamarul Othman tanpa pengetahuannya pada 12 Februari lalu, sudah sebulan dia tidak dapat bertemu anaknya itu.

Dia juga menafikan dakwaan bahawa Anisa menghubungi bapanya, Rosland Othman, 50, dalam keadaan ketakutan merayu untuk dijemput sebelum kejadian itu.

Menurut Adibah, sejak itu dia hanya dapat berhubung dengan anak keempat dari lima beradik itu melalui WhatsApp saja sebelum mengetahui anaknya itu menerima rawatan di Hospital KPJ Damansara.

"Saya pergi ke hospital pada 3 Mac lalu bersama sepupu perempuan kepada dia (Rosland).

"Dia pun pergi masuk ke dalam bilik wad dan masa buka pintu saya sempatlah tengok sikit Anisa dari jauh. Tapi lepas itu dia (Rosland) keluar dan kata Anisa tak nak jumpa saya.

"Saya berasa lemah sangat. Nak melawat anak sendiri di hospital pun kena merayu-rayu. Tolonglah bagi saya melawat Anisa, saya cakap kat dia (Rosland)," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di Mahkamah Syariah, di sini hari ini.

Adibah hadir ke Mahkamah Syariah Putrajaya bersama dua anaknya bagi urusan pelantikan peguam syarie berhubung mana-mana kes di masa akan datang.

Peguamnya, Md Taufeq Al Amin Sahril berkata, pihaknya tidak memfailkan sebarang tuntutan buat masa ini tetapi hanya urusan melantik peguam baharu bagi kes berbangkit termasuk di masa hadapan.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan Adibah mahu terus mempertahankan rumah tangga bersama suaminya meskipun perkahwinan dilanda badai sejak dua tahun lalu.

Adibah tidak berhasrat memfailkan perceraian dan mengaku masih sayangkan rumah tangga yang dibina sejak 28 tahun lalu, meskipun suaminya berpoligami selepas berkahwin dengan Miera Leyana pada Julai 2020.

Mengulas lanjut , Adibah berkata, dia tidak pernah menghalang hak suaminya sebagai seorang bapa untuk bertemu dengan anak mereka tetapi sekurang-kurangnya anaknya itu tidak diambil secara mengejut.

"Memang tak perlu minta izin, tapi ambil (anak) macam itu sahaja...cara itu tak betul. Selama ini Anisa duduk dengan saya, paling tidak pun komunikasi dengan saya demi anak.

"Orang bercerai pun boleh berkomunikasi inikan pula kami masih bersama. Nak ambil, hantar anak beritahulah saya tak pernah nafikan hak dia.

"Pulanglah ke rumah seperti dahulu, tetapi bila dia buat macam ini, tak adil pada saya," katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2023 @ 2:26pm
d