rap

'Kami bukan seperti yang difitnah' - bapa Hafidz Roshdi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Kubu Bharu : "Isu yang tak patut dibangkitkan sepatutnya kita elakkan. Ia menjejaskan nama baik (keluarga) dan saya rasa perlu dihentikan. Kami sama sekali bukan seperti yang difitnah. Orang kenal kami dan kita selama ini cuma berdiam (diri),".

Demikian kata Roshdi Ahmad, bapa kepada pelakon, Hafidz Roshdi, 29, mengenai konflik membabitkan anaknya itu dengan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29.

Semalam, Hafidz dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menumbuk hingga mencederakan Nurul Shuhada dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Selangor pada 2 Mac lalu.

Roshdi yang hadir menemani anaknya di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, semalam, pada mulanya enggan mengulas, namun akur dengan pujukan pengamal media untuk memberikan kenyataan.

Dalam pada itu, Roshdi turut meminta semua pihak menghormati mahkamah dan tidak terus membangkitkannya menerusi apa saja medium.

"Perkara ini sedang diadili. Kita doakan yang terbaik," katanya.

Hafidz mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.

Mahkamah memerintahkan Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi diikat jamin sebanyak RM4,000 selain perlu menjalani rawatan psikiatri dan pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak pada 28 Mac ini.

Mahkamah menetapkan 9 Jun ini bagi sebutan semula kes dan laporan psikiatri Hafidz.

Disiarkan pada: March 14, 2023 @ 10:57am
d