rap

Jangankan nak berjalan, berdiri pun Puteri Rafasya tak boleh

Kuala Lumpur: Nama pelakon cilik, Puteri Rafasya, 12, tiba-tiba menjadi sebutan selepas mengalami kemalangan di lokasi penggambaran drama Jaga Aku Selamanya di Beranang, Selangor, hujung bulan lalu. 

Kemalangan berpunca apabila kerusi ditarik akibat perbuatan seorang kanak-kanak yang tidak sepatutnya berada di lokasi penggambaran dengan niat untuk bergurau.

Ia menyebabkan tulang pinggulnya retak berikutan badan Puteri menghempap kaki besi tripod. Kesannya amat besar apabila Puteri terpaksa menanggung derita tidak mampu duduk dan berjalan tanpa bantuan keluarga akibat tulang pinggul retak. 

Keadaannya bertambah serius sehingga terpaksa dimasukkan ke wad pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini, dan kini mengalami masalah saraf.

   Ibunya, Fatin Aliza Salmi, 33, berkata, anaknya terlebih dahulu dikejarkan dengan ambulans dan ditempatkan di zon kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3 pagi selepas mengalami kebas kaki dan air kencing yang keluar secara tidak sedar.

"Sekarang, Puteri ada masalah dengan pundi kencing dan kakinya kebas. Bila kaki kebas memang situasi agak merisaukan sebenarnya. Puteri perlu dikejarkan ke zon kuning pada awalnya. 

"Ia juga berkait rapat dengan saraf. Selepas pemeriksaan, Puteri akhirnya perlu ditahan di wad pediatrik HTA sehingga keadaannya beransur pulih.

"Keadaan Puteri agak teruk juga sebab masih perlu memakai lampin pakai buang," katanya. 

Perkara yang membelenggu Fatin Aliza ialah sikap lepas tangan pihak berkenaan berhubung kemalangan itu.

"Kalau diikutkan laporan perubatan, Puteri dianggarkan sudah boleh berjalan ketika ini. Tapi, jangankan berjalan, berdiri pun Puteri tidak boleh.

"Jadi, bila keadaan dilihat semakin memburuk, saya rasa sangat tertekan dan kecewa. Sehingga hari ini, kami masih tidak menerima sebarang bantuan atau kata putus daripada pihak terbabit. Saya tertanya-tanya adakah mereka perlu lepas tangan seperti ini," katanya. 

Menurutnya, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ada menghubunginya untuk mengadakan pertemuan bersama pihak produksi dan keluarga pelaku bagi membincangkan mengenai perkara ini. 

Dia juga sedang melihat perkembangan lanjut dan sekiranya masih tiada tindakan susulan, dia akan melancarkan tabung bantuan bagi memudahkan urusan perubatan anaknya.

Disiarkan pada: March 14, 2023 @ 8:15pm
d