rap

Rentak seni Nadhir

Oleh Georgie Joseph

RENTAK kerjaya seninya kian rancak ketika ini.

Pecutan Nadhir Nasar mendaki ke puncak bagi memahat nama sebagai pelakon tampak ketara di mana kelibatnya kian meniti bibir ramai pemain industri dan peminat.

Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 26, masih mentah dalam bidang seni. Banyak lagi liku menantinya di hadapan yang tak mampu dicongaknya sendiri lagi di tahap sekarang.

Justeru, jejaka yang dilahirkan di California, Amerika Syarikat ini mengaku dia perlu cermat mengukir laluan seninya. Dia terharu jika dipuji bagus, namun enggan perkara itu melekakan dirinya.

"Itu semua virus kalau orang cakap begitu. Virus dari segi kita akan rasa diri bagus. Tak elok sebenarnya perkara itu bila orang cakap semua yang kita ada berhasil.

"Mungkin disebabkan jalan cerita (dalam lakonan) itu dan saya ini hanya pelakon yang mainkan watak. Kemudian tempiasnya datang kepada saya. Mungkin juga disebabkan itu," katanya.

Kalau dihitung, setiap projek dijayakannya seperti drama terbaharu Projek: High Council, Projek: Anchor SPM, i-Tanggang dan Nusyuz Berkiblat Cinta berjaya serta penerimaannya hebat.

Nadhir serap keberhasilan itu dengan positif, tapi pada masa sama dia menolak bahawa kerana pembabitan dirinya menjadi punca kejayaan mana-mana drama khasnya yang dibintangi.

"Tapi, apabila saya mendapat karya yang tidak elok atau orang tak suka dan saya ada di dalamnya, jika tak berhasil, sama juga. Apa pun, alhamdulillah bila orang cakap begitu, syukur sangat.

"Pada masa sama, harap tanggapan sedemikian akan buat saya lebih berjaga-jaga dalam hasil kerja. Sebagai pelakon, saya kena cermat dalam menjaga hasil kerja," katanya.

Nadhir sebagaimana pendatang baharu lain tidak kurang usahanya bekerja keras membina kerjaya kukuh. Dia juga inginkan graf profil seninya meningkat seiring curahan keringat.

Bagaimanapun, apabila disoal adakah dirinya ditanda nilai harga yang mahal, Nadhir tepis tanggapan itu.

Menurutnya, dia masih terlalu baharu untuk berkira mengenai soal bayaran tawaran sekarang.

"Oh tidak. Mungkin nak kata mahal itu sangat subjektif. Ada saja orang rasa yang mahal itu murah dan yang murah itu mahal. Saya rasa saya masih baharu dan sangat mentah. Saya baru berada dalam industri selama dua tahun setengah selepas memenangi Hero Remaja 2020.

"Ia bergantung kepada bagaimana kita melakar laluan diri. Apa sasaran nak dicapai, lagi lima tahun, apa saya punya matlamat. Begitu cara saya lakar jalan untuk saya," katanya.

Sebagai insan yang percaya kepada ketentuan rezeki, dia juga yakin segalanya terbit daripada takdir. Dia cuma melabur usahanya untuk setiap rezeki mendatang sebaiknya.

"Kadang-kadang setiap hal ada hikmah dan kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Setakat sekarang, saya galas saja setiap tawaran yang datang," katanya.

Sudah menjadi impian buat mana-mana anak wayang ingin ke layar perak tidak terkecuali Nadhir. Mengisi resume seninya, dia juga bakal membintangi filem sulung yang katanya bermakna besar.

Mana tidaknya, menerusi filem bergenre epik itu dia bakal bergandingan dengan nama besar. Tetapi, dia keterujaan terbabit projek itu masih tetap disaluti sebuah rasa ketakutan.

"Sekarang saya tengah jalani penggambaran untuk filem sulung saya. Saya belum boleh kongsi apa-apa lagi, tapi ia terbitan Studio Kembara. Saya bukan watak utama, tapi akan bergandingan nama hebat.

"Sebenarnya teruja dan sangat takut untuk kali pertama. Takut sebab saya rasa belum cukup ilmu untuk memasuki dalam bidang filem," katanya.

Apa pun, Nadhir sifatkan proses itu sudah menjadi lumrah wajib dalam proses memajukan dirinya. Ketakutan adalah faktor terbesar memotivasikan diri melangkah lebih jauh.

"Mungkin ini adalah proses yang perlu saya lalui juga untuk ke hadapan. Kadang-kadang bila kita takut untuk masuk satu tempat, itu adalah tempat kita perlu masuk sebenarnya," katanya.

Baru-baru ini, Nadhir turut dilantik sebagai duta kempen korporat Ramadan Raya Astro buat kali kedua bergandingan dengan pelakon yang kian mengukir namanya di persada lakonan tempatan, Qasrina Karim.

Disiarkan pada: March 17, 2023 @ 6:00am
d