rap

'Aaron tak boleh, dia ada masalah kesihatan' - Syamsul Yusof

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Antara sebab Datuk Aaron Aziz digugurkan daripada berlakon filem terbaru arahan Syamsul Yusof iaitu The Original Gangster ialah kerana dia mengalami masalah kesihatan selain kenaikan berat badan.

Namun, Syamsul yang mendedahkan perkara itu berkata, dia adalah orang terakhir yang mahu menggugurkan nama Aaron dalam filem itu.

"Saya kata jangan dulu, kita bagi Aaron masa. Dia dah janji dengan saya, dia boleh kuruskan badan, dia boleh 'training' (berlatih). Dia boleh buat lagi. Tapi, selain itu Aaron juga ada masalah slip disc, soal kesihatan dia pula.

"Saya ada tarikh yang sepatutnya dah 'shooting' (penggambaran). Saya berbincang dengan pihak penerbit dan minta beri masa pada Aaron dan tangguhkan dulu penggambaran.

"Saya yakin Aaron boleh. Tapi, dia (Aaron) tak dapat tunaikan juga. Antara sebab utama kenapa Aaron digugurkan adalah kerana saya takut kalau dia buat aksi lawan dan lasak nanti akan mengganggu masalah kesihatannya. Nanti, saya juga yang dipersalahkan," katanya.

Syamsul berkata, sebelum penggambaran pelakon-pelakon ada melalui proses latihan dan semua orang datang kepadanya memberitahu Aaron ada masalah ketika sesi latihan itu dibuat.

Syamsul berkata, dia juga ada menghubungi Aaron, namun menerima reaksi negatif daripada pelakon itu. Katanya, Aaron seolah-olah menyalahkan dirinya dan mendakwa turut ambil kesempatan di atas masalah rumah tangga dihadapinya.

"Saya ada hubungi dia dan minta maaf mengenai perkara ini. Sebabnya, saya adalah orang terakhir yang mahu menggugurkan namanya diatas faktor-faktor berkaitan.

"Tiba-tiba dia melenting pula. Saya dah terangkan kepada dia yang saya terpaksa dan tak kisahlah kalau memang itu pandangan dia kepada saya. Sebenarnya kisah pun dah lama, tapi bila timbul masalah rumah tangga saya, semua pun tiba-tiba nak mengungkit," katanya.

Menurut Syamsul, soal kesihatan tidak boleh dibuat main-main.

Katanya, dia juga menasihatkan kepada golongan selebriti secara umumya agar sentiasa percaya rezeki dan bukannya mengambil kesempatan atas orang lain.

"Saya minta maaf. Kalau boleh saya memang tak nak cakap mengenai perkara ini. Malah, secara umum saya cakap dekat sini, kita sebagai selebriti kalau agak-agak nama dah goyang ke apa, nombor satu percaya rezeki Allah. Lebih ke kurang, kita kena terima.

"Kemudian, kita cuba buktikan dengan hasil kerja kita. Dengan bakat yang Allah kurniakan kepada kita. Bukan cari 'point' dengan masalah orang lain. Betullah orang kata bila kita berada di fasa ujian, baru tahu mana yang kawan, sahabat dan mana yang sebenarnya mungkin ada iri dengan kejayaan kita selama ini. Mungkin," katanya.

Terdahulu, Aaron mengesahkan namanya digugurkan daripada barisan pelakon filem The Original Gangster arahan Syamsul pada 13 Mac lalu.

Dia juga tidak mendedahkan puncanya kerana menghormati bapa Syamsul juga pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam.

Disiarkan pada: March 23, 2023 @ 1:28pm
d