rap

Farid Kamil dakwa 'tak kenal' Syamsul Yusof

Oleh Najiy Jefri

Shah Alam: Farid Kamil memilih untuk mengunci mulut ketika ditanya mengenai saman yang bakal dibuat pengarah sensasi, Syamsul Yusof terhadap dirinya selepas dipercayai menyindir dan mendakwa Syamsul pernah memukul seorang wanita bernama Diana sebelum ini.

'Diana' yang disebutkan dalam Insta Story Farid itu dipercayai merujuk kepada isterinya, Diana Danielle.

Pendedahan Farid itu dibuat sehari selepas isteri pertama Syamsul, Puteri Sarah Liyana mendedahkan dia pernah dipukul oleh suaminya menyebabkannya keluar rumah sekitar 2020.

Farid ketika ditemui bagaimanapun memberikan jawapan sinis apabila mendakwa dia tidak mengenali pengarah terbabit.

"Saya tak kenal siapa dia," katanya ringkas sambil tersenyum dan beredar.

Terdahulu, Syamsul memaklumkan dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Farid selepas membuat perkara yang bersifat kebudak-budakan.

Syamsul dan Diana pernah menjadi pasangan kekasih sekitar 2005 sebelum hubungan itu terlerai pada penghujung 2008.

Diana kemudian bercinta dengan Farid sebelum mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.

Disiarkan pada: March 28, 2023 @ 12:01pm
d